Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
PERKEMBANGAN TERKINI USAHA KERAJAAN DALAM MENANGANI ISU KENAIKAN HARGA BARANGAN

PUTRAJAYA, 14 Disember 2021  Kerajaan telah mengumumkan pelbagai usaha dan tindakan proaktif dalam menangani isu kenaikan harga barangan keperluan. Dalam konteks Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), beberapa tindakan serta inisiatif yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut:

Pelaksanaan Penguatkuasaan

  1. Ops Menu – 6 November hingga 31 Disember 2021;
  2. Ops Pasar – 27 November hingga 12 Disember 2021;

Inisiatif Membantu Rakyat

  1. Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) – Disember 2021 hingga Mac 2022;

Inisiatif Kawalan Harga

  1. Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) – 7 hingga 31 Disember 2021;

Menurut YB Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, langkah yang diambil ini serta sentiment dan reaksi pasaran domestic terhadap rangkaian usaha Kerajaan, KPDNHEP menjangkakan bahawa ia bakal memberi kesan kepada kestabilan harga barang keperluan.

Kestabilan ini juga akan menerima kesan positif daripada pembukaan dan pemulihan ekonomi dunia pada tahun 2022. Pelaksanaan inisiatif tersebut juga adalah melengkapi usaha yang sedang dilaksanakan sama ada di peringkat pemantauan, penguatkuasaan dan advokasi kepenggunaan sedia ada.

Pelaksanaan PJKM telah memberi impak positif di mana barangan keperluan harian seperti ayam, ikan, telur, sayur-sayuran, minyak masak, gula, tepung, beras serta barangan proses dengan harga sehingga 20% lebih rendah daripada harga pasaran setempat. Sehingga hari ini, sambutan yang diterima daripada para pengguna bagi Program ini adalah menggalakkan dengan pengunjung seramai 28,985 orang dan hasil jualan sejumlah RM423,844.06.

Tambahnya lagi, menerusi maklum balas yang diterima melalui operasi pemantauan harga yang dijalankan oleh Pegawai Pemantau Harga di 72 pejabat cawangan KPDNHEP seluruh negara, Kementerian mendapati harga barangan keperluan sudah mula menunjukkan trend penurunan.

Dalam usaha untuk menyampaikan maklumat yang lebih tepat dan terkini Kementerian telah melaksanakan hebahan maklumat berkaitan harga barangan keperluan seperti media soaila Kementerian, BERNAMA, RTM dan Aplikasi Price Catcher. Penyampaian maklumat ini adalah penting bagi memastikan rakyat mendapat gambaran sebenar kedudukan terkini trend harga barangan keperluan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


SYARIKAT PEMBORONG BERLESEN DISYAKI MELAKUKAN AKTIVITI PENYELEWENGAN MINYAK MASAK BERSUBSIDI DISERBU

PUTRAJAYA, 13 Disember 2021  Sebuah aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi paket 1 kg telah berjaya dibanteras oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP menerusi operasi yang telah dijalankan si sebuah syarikat pemborong berlesen di Rawang, Selangor.

Syarikat yang mempunyai lesen borong barang kawalan yang masih dalam tempoh sah ini disyaki mengaburi pihak berkuasa dengan menggunakan premisnya sebagai tempat untuk melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi paket 1kg yang dipindahkan ke dalam bekas minyak masak industri sebelum dipasarkan.

Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Tuan Azman bin Adam, hasil serbuan menemui lebih kurang 8,500kg minyak masak bersubsidi paket 1kg disyaki untuk diseleweng. Dua (2) unit tangki berkapasiti 250 metrik tan masing-masing yang bersambungan berisi keseluruhannya berjumlah 19,120kg, sisa plastik minyak masak bersubsidi paket 1kg yang telah digunting, peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki industri dan sebuah lori telah disita dengan nilai dianggarkan bernilai RM 203,750.00.

Hasil risikan dan siasatan awal mendapati, sindiket telah beroperasi hampir sembilan (9) bulan iaitu sejak mendapat lesen borong pada penghujung bulan Mac 2021 dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi paket 1kg daripada pemborong-pemborong berlesen. Seterusnya dileraikan menggunakan mesin dan dikumpulkan di dalam dua (2) unit tangki berkapasiti 250 metrik tan masing-masing yang bersambungan untuk dipasarkan sebagai minyak masak industri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Tuan Azman turut mengingatkan bahawa Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti ini dan akan mengambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh Kementerian ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyelewengan barang bersubsidi boleh mengemukan aduan ke saluran aduan rasmi KPDNHEP.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


PENGUMUMAN PENENTUAN HARGA MAKSIMUM SKIM HARGA MAKSIMUM KELUARGA MALAYSIA

Susulan masalah kenaikkan harga barang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini disamping memastikan keberadaan bekalan di pasaran. 

Skim yang telah bermula pada  Disember 2021 yang lalu, melibatkan kawalan harga ke atas item-item tertentu  seperti ayam, telur ayam dan beberapa jenis sayur-sayuran seperti berikut:  

  • Ayam hidup
  • Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)
  • Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)
  • Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)
  • Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)
  • Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)
  • Kacang panjang
  • Cili merah
  • Tomato
  • Sawi hijau
  • Kobis Bulat Import (Indonesia dan China tidak termasuk Beijing)
  • Timun

Menurut YB Menteri PDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, langkah ini diharapkan berjalan lancer dan dapat membantu menstabilkan harga barang di pasaran. Pengumuman harga bagi barangan yang terlibat akan dilakukan dalam masa terdekat iaitu ayam dan telur akan dilakukan diperingkat ladang, borong dan runcit. Manakala bagi sayursayuran, harga kawalan akan ditentukan di peringkat borong dan runcit.

Tambahnya lagi, senarai barang akan dikaji secara berterusan dan akan ditambah atau digugurkan berdasarkan penilaian situasi pasaran. Semua pihak diseluruh rantaian bekalan dari kalangan pengeluar, pemborong, pengedar dan penjual dinasihatkan dan diberi amaran akan tindakan tegas diatas kegagalan mematuhi Skim ini dan juga bagi barang-barang keperluan pengguna yang lain.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


MESYUARAT KHAS MAJLIS TINDAKAN SARA HIDUP NEGARA

KUALA LUMPUR, 9 DISEMBER 2021  Telah berlangsung Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (National Council on Cost of Living – NACCOL) yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob. Mesyuarat kali ini membincangkan mengenai whole government approach yang merentasi seluruh kementerian bagi menyelaras inisiatif-inisiatif baharu bagi menangani isu sara hidup.

Pendekatan yang perlu diambil bagi menyelesaikan isu ini perlu melibatkan pelbagai agensi. Mesyuarat Khas ini turut dihadiri oleh YB Menteri-Menteri Kanan, YB Menteri-Menteri, Ketua Setiausaha Negara, YB Timbalan Menteri, Ketua-ketua agensi kerajaan, pemain industri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pakar ekonomi. Kehadiran ini adalah tanda komitmen semua Ahli-ahli NACCOL agar strategi penyelesaian dapat dibincangkan dan seterusnya dilaksanakan segera.

Ini merupakan satu kesinambungan kepada Mesyuarat Peringkat Eksekutif yang telah diadakan sepanjang 2021 iaitu sebanyak tiga (3) kali pada 23 Februari 2021, 15 Julai 2021 dan 15 Oktober 2021. Sebanyak lapan (8) kertas pembentangan daripada pelbagai agensi merangkumi perspektif makro ekonomi, sektor logistik, industri perumahan, penguatkuasaan dan advokasi kepenggunaan serta isu berkaitan buruh.

Beberapa keputusan penting telah dihasilkan menerusi mesyuarat ini. Antara lain adalah sperti berikut:

  1. Pemanjangan Program Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak sehingga bulan Mac 2022 dengan kos sebanyak RM150 juta;
  2. Pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) sebanyak RM100 juta, untuk dilaksanakan di 222 kawasan Parlimen sehingga Mac 2022;
  3. Pemantauan dan pelaporan secara langsung kepada NACCOL bagi 41 inisiatif dengan peruntukan sebanyak RM14.32 bilion yang telah diluluskan di bawah Bajet 2022. Pemantauan secara langsung ini akan memastikan semua agensi kerajaan melaksanakan segera inisiatif tersebut memandangkan peruntukan yang besar ini perlu di rasai oleh rakyat;
  4. Isu kekurangan buruh asing dalam sektor berkaitan penghasilan makanan akan segera dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember 2021; dan
  5. Supaya mesyuarat peringkat Jawatankuasa Teknikal NACCOL yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KPDNHEP diadakan segera untuk menyusul, memperhalusi dan menyelaras cadangan-cadangan lain yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Khas NACCOL.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive