Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PUTRAJAYA, 14 April 2022 –  Sebagai sebuah kementerian yang mengawal selia syarikat berkepentingan asing menjalankan perdagangan pengedaran di Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa berusaha untuk menarik minat pelaburan asing di dalam sektor perdagangan dan pengedaran yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Merealisasikan konsep “Ease of Doing Business”, IR4.0 dan digitalisasi, prosedur permohonan untuk syarikat asing menjalankan perniagaan di Malaysia telah ditambah baik dengan melaksanakan permohonan secara dalam talian melalui Business Licensing Electronic Support System (BLESS) 2.0. Permohonan melalui sistem BLESS 2.0 ini dilihat telah mempermudahkan proses permohonan syarikat dan sekaligus menarik minat lebih ramai pelabur asing untuk membuka lebih banyak cawangan perniagaan dalam negara.

Menurut Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal ehwal Pengguna, sistem ini mampu menampung dan mempercepatkan proses permohonan yang semakin meningkat, sejak akhir-akhir ini. Diantara tahun 2020 dan 2021, KPDNHEP telah menerima sebanyak 1,280 permohonan daripada 573 buah syarikat asing untuk menjalankan perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di Malaysia. Perniagaan mereka meliputi  peruncitan, pengedaran, makanan dan minuman (Food and Beverages).

Jumlah kumulatif modal berbayar yang dibawa masuk oleh syarikat-syarikat  asing pada tahun tersebut ialah sebanyak RM11.383 bilion dengan 33,123 peluang pekerjaan telah diwujudkan di dalam pasaran tempatan.

Manakala bagi sektor perkhidmatan tidak dikawal selia seperti syarikat perunding, ejen logistik, ejen hartanah dan perkhidmatan pembaikan mesin dan peralatan, kementerian ini telah meluluskan sebanyak 87 permohonan daripada 149 permohonan daripada syarikat asing pada tahun 2020 dan 2021. Jumlah keseluruhan modal berbayar yang dibawa masuk oleh syarikat asing pada tahun tersebut ialah sebanyak RM828.84 juta.

Tambahnya lagi, sepanjang tempoh ini juga, kementerian ini telah meluluskan permohonan syarikat asing daripada 31 buah negara untuk menjalankan perniagaan dalam sektor perkhidmatan tidak dikawal selia. Syarikat dari negara Jepun merupakan syarikat yang paling banyak diluluskan untuk menjalankan perniagaan dalam sektor ini iaitu sebanyak 132 syarikat diikuti oleh syarikat dari negara Singapura (70 syarikat), United Kingdom (46 syarikat), Korea Selatan (38 syarikat) dan Australia (19 syarikat).

Akhir sekali, KPDNHEP akan terus komited untuk membantu memudahcarakan proses permohonan supaya dapat menarik minat lebih ramai pelaburan asing yang berkualiti di bawah sektor ini untuk membuka perniagaan di Malaysia.Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pihak pemain industri dan orang ramai boleh menghubungi Sekretariat Perdagangan Pengedaran dan Industri Perkhidmatan (SPIP) di talian hotline 03- 8882 5881/ 5905 atau melalui emel kepada This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it..

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


PUTRAJAYA 14 April 2022 – Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan serbuan ke atas tiga (3) premis berasingan yang terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah di Klang, Selangor yang menjual alat teknologi penstriman (android box) pada 11 April 2022.

Menurut Tuan Azman bin Adam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, serbuan yang bermula pada jam 12.00 tengah hari dengan kekuatan seramai 15 anggota penguat kuasa KPDNHEP Putrajaya dilakukan hasil daripada maklumat pemilik hak cipta yang berkaitan serta risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDNKSH selama dua minggu. 

Hasil pemeriksaan terhadap tiga (3) premis terbabit, pihak KPDNHEP telah merampas sebanyak 25 unit alat teknologi penstriman berserta dokumen yang berkaitan dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 8,567.00. Selain itu, seramai tiga (3) lelaki warga tempatan telah ditahan untuk siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 43AA Akta Hak Cipta 1987 iaitu melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya dengan menjual suatu teknologi penstriman. 

Jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak kurang daripada RM 10 000.00 dan tidak melebihi RM 200,000.00 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Tambahnya lagi, pihak KPDNHEP telah menambahbaik Akta Hak Cipta 1987 melalui pindaan kepada Akta Hak Cipta (Pindaan) 2022 yang telah berkuatkuasa mulai 18 Mac 2022 lalu. Ia memberi penekanan dalam usaha membanteras pelanggaran hak cipta secara dalam talian atau cetak rompak digital. 

Tegasnya, semua peniaga diingatkan supaya tidak menjual alat teknologi penstriman seumpama ini dan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan yang berterusan akan dilakukan oleh pihak Kementerian kerana alat teknologi penstriman ini berupaya untuk melakukan pelanggaran hak cipta dalam apa-apa karya hak cipta yang dilindungi. 

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung salah laku peniaga berhubung perkara ini boleh menyalurkan aduan yang lengkap di saluran aduan rasmi Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


PUTRAJAYA, 13 April 2022 - Susulan pembukaan pintu sempadan Negara pada 1 April 2022, Negara menerima kemasukan kenderaan-kenderaan yang banyak dari pelbagai Negara. Terdapat juga laporan yang diterima daripada orang ramai dan media tentang kenderaan asing mengisi minyak Petrol RON95 khususnya di stesen minyak sempadan Negara.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, memaklumkan bahawa dalam membendung perkara ini daripada terus berlaku, Kementerian  mempergiatkan penguatkuasaan untuk memastikan semua kenderaan berpendaftaran asing termasuk motosikal tidak dibenarkan untuk mengisi minyak Petrol RON95 di seluruh Negara. Walaubagaimanapun, kenderaan-kenderaan tersebut dibenarkan untuk mengisi minyak  RON 97 di stesen-stesen minyak diseluruh Negara. 

KPDNHEP telah mengadakan satu menyuarat bersama Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia dan pihak persatuan telah menyatakan sokongan dan komitmen untuk memastikan semua stesen minyak di Malaysia mematuhi perundangan berkaitan larangan penjualan RON 95 diseluruh stesen minyak di Malaysia.

Tambahnya lagi, KPDNHEP juga telah menggerakkan seramai 2,200 pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP bagi melaksanakan pemeriksaan dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh Negara terhadap mana-mana orang dan pengusaha stesen minyak yang cuba melanggar perundangan berkaitan. Selain itu, pegawai-pegawai penguat kuasa Kementerian akan mengadaptasi pendekatan Ops Samar dengan memakai pakaian preman (tidak memakai pakaian seragam) dalam melaksanakan penguatkuasaan ini.

Mana-mana orang atau pengusaha stesen minyak yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Tegasnya, pihak Kementerian akan mengambil tindakan dengan menggantung lesen pengusaha minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan. Amaran keras juga diberikan kepada semua orang dan pengusaha minyak bahawa kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah.  Tindakan tegas akan di ambil termasuk mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Akhir sekali, sekiranya orang ramai mempunyai maklumat mengenai mana-mana orang atau pengusaha stesen minyak yang melanggar perundangan ini boleh menyalurkan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran aduan rasmi Kementerian.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


SEREMBAN, 13 April 2022 – Satu aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi telah berjaya ditumpaskan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah stesen minyak di Pekan Teluk Kemang, Negeri Sembilan yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.

Menurut, Tuan Shamsul Nizam bin Khalil, Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi)  memaklumkan bahawa serbuan telah dilakukan oleh anggota Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya melalui hasil risikan yang telah dibuat sejak beberapa minggu lalu. Ketika serbuan dilakukan, terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak di dalam tangki simpanan dan mendapati bahawa pemandu lori terbabit sedang membuat pengisian minyak sebanyak RM 500.00 bersamaan kira-kira 232 liter.

Hasil siasatan awal mendapati, pemandu lori tersebut disyaki telah melakukan pengisian sebanyak dua (2) kali dengan jumlah sebanyak RM500.00 bagi setiap transaksi. Selain itu, hasil pemeriksaan juga mendapati sebuah compartment tangki simpanan mengandungi minyak diesel yang dianggarkan berjumlah 370 liter.

Angota Penguat Kuasa KPDNHEP telah menyita minyak diesel, lori tangki, dua (2) unit telefon bimbit, satu set dekoder CCTV dan invois/resit jualan serta belian berserta dokumen-dokumen perniagaan yang lain dari stesen minyak berkenaan bagi tujuan sisalan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 27,795.50. Seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pemandu lori juga ditahan bagi membantu siasatan.

Tuan Shamsul Nizam juga memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut terhadap kes ini akan dibuat di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti rantaian pengedaran minyak diesel tersebut bermula daripada stesen minyak berkenaan sehinggalah ke peringkat pembeli.

KPDNHEP juga membrikan amaran keras terhadap mana-mana pengusaha stesen minyak khususnya ke atas 24 stesen minyak di kawasan Port Dickson agar mematuhi perundangan. Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah AKB 1961 dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM 1,000,000.00 (Ringgit Malaysia Satu Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM 3,000,000.00 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala bagi syarikat sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM 2,000,000.00 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta).

Tambahnya lagi, Kementerian juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan dan keputusan kes dimuktamadkan.

Syarikat tersebut juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613) iaitu kesalahan pengubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat perlucutanhak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan minyak diesel.

Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Akta 613 ini boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima belas (15) tahun dan juga boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau lima juta ringgit yang mana yang lebih tinggi.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive