Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PUTRAJAYA, 13 JULAI 2017 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bertindak menghalang akses ke laman web atau mengarahkankan pentadbir media internet dan tapak pasar yang terlibat untuk menurunkan kandungan-kandungan berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 263 (2) Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM 1998) sekiranya didapati berlaku penipuan di laman media sosial seperti facebook, twitter dan instagram dan tapak pasar malam dalam talian yang tidak bertanggungjawab.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Dato’ Roslan Mahayudin berkata, KPDNKK menguatkuasakan dua undang-undang iaitu Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Perihal Dagangan 2011.

Katanya, beberapa senario melibatkan penipuan atas talian seperti pesanan berbeza daripada barangan yang diterima, bermutu rendah, dan caj yang mahal dari apa yang tertera dalam iklan serta berbagai-bagai kes yang dialami pembeli.

“Pengguna boleh merujuk dan membuat aduan kepada KPDNKK sekiranya menjadi mangsa tipu atau memfailkan tuntutan ganti rugi di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk tindakan selanjutnya.

KPDNKK menasihatkan pengguna agar sentiasa menyimpan segala dokumen seperti resit transaksi, nombor telefon atau apa-apa dokumen sebagai bukti untuk dikemukakan di TTPM bagi mendapatkan tuntutan ganti rugi.

Dato’ Mohd. Roslan pada sidang medianya di sini hari ini turut memberitahu bahawa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sedang menggubal perundangan khas untuk mentadbir penjual-penjual one-off.

“Buat masa ini, online marketplace operator sendiri yang mengawal selia penjual-penjual atas talian di tapak laman web mereka. Kementerian hanya memberikan kewajipan kepada online markerplace operator ini untuk menyimpan dan menyelenggara maklumat seperti nama, alamat dan nombor telefon penjual-penjual online mereka bagi tempoh dua tahun di bawah Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Urus niaga Perdagangan Elektronik) 2012 supaya pihak berkuasa dapat mengesan penjual terbabit jika wujud isu kepenggunaan kelak,” ujarnya.

 

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


PUTRAJAYA, 11 JULAI 2017 – Seramai 20 pegawai hari ini menerima Sijil Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) sempena Mesyuarat AKRAB KPDNKK Bilangan 1/ 2017 yang berlangsung di Bilik Latihan Aras 6, Kompleks KPDNKK di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Pengerusinya, Jefry Embok Taha. Kira-kira 70 ahli AKRAB KPDNKK dari seluruh negara hadir di majlis ini.

AKRAB KPDNKK berhasrat untuk mempelbagaikan aktivitinya seperti mengadakan program turun padang, kursus, hari keluarga serta program tanggungjawab sosial (CSR) bagi memberi pendedahan dan pengalaman kepada warga kementerian ini.

Dalam ucapannya, Jefri mahukan agar AKRAB bersedia menjadi rakan dan pemberi semangat kepada rakan-rakan yang bermasalah selain sebagai motivasi kepada mereka.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


KUALA LUMPUR, 5 JULAI 2017 – Kira-kira 6,000 tetamu membanjiri program Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang diadakan di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Berkembar Bank Rakyat di sini hari ini.

Tetamu yang mula datang seawal jam 11.30 dilihat mengisi segenap ruang Dewan Tun Razak dan di perkarangan sebelah luar dewan untuk menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

Program ini turut melibatkan semua agensi dalam KPDNKK seperti Bank Rakyat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) , Maktab Koperasi Malaysia( MKM), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Perbadanan Nasional Berhad (PNS), Perbadanan Harta Intelek (MyIPO) dan  Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Pelbagai aktiviti disediakan bagi mengisi program yang berlangsung hingga jam enam petang itu seperti pertandingan karaoke, persembahan berkumpulan dari semua agensi serta pertandingan gerai tercantik.

Majlis yang dihadiri Menteri KPDNKK, Dato’ Seri Hamzah Zainudin serta isteri, Timbalan Menteri, Dato’ Henry Sum Agong serta Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Saleh dan isteri itu diwarnai dengan penyampaian sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Wanita, Ibu Tunggal dan Warga Emas (PERWATIE), ramah mesra dengan tetamu serta  lawatan ke gerai-gerai makanan yang diuruskan semua agensi di dalam KPDNKK.

Nyanyian beramai-ramai oleh Pengurusan Tertinggi Kementerian bersama-sama Dato’ Seri Hamzah dan Dato’ Henry Sum Agong menjadi kemuncak pertemuan program itu.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


PUTRAJAYA, 13 DISERMBER 2017 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan sebanyak 16 barangan yang dimaksudkan sebagai barangan kawalan sempena Krismas nanti.

Ketika mengumumkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) sempena Krismas di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, Aras 10, di sini hari ini, beliau berkata, hanya dua barangan mengalamai sedikit kenaikan berbanding tahun lepas manakala barangan lain melihatkan penurunan harga atau tidak berubah.

SKHMP ini bermula 23 hingga 27 Disember iaitu dua hari sebelum, pada hari perayaan dan dua hari selepas melibatkan 91 daerah di Semenanjung, 32 daerah di Sarawak dan 27 daerah di Sabah dan satu kawasan di Labuan.

Dato’ Seri Hamzah mengulangi amarannya kepada peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan yang dikeluarkan sempena pelaksanaan SKHMP ini bagi mengelakkan dari dikenakan tindakan tegas oleh pihaknya.

KPDNKK akan menempatkan pegawai-pegawai penguatkuasanya di lokasi-lokasi strategik dengan dibantu anggota-anggota Jabatan Sukarelawan (RELA), Penghulu, Penggawa dan ahli-ahli Friends Of KPDNKK (FOK).

Beliau turut mengingatkan pengguna agar bijak berbelanja pada setiap masa dengan memilih barangan mengikut keperluan dan kemampuan. Katanya, pengguna boleh melaporkan kepada mana-mana Pejabat KPDNKK sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang oleh peniaga ketika pelaksanaan SKHMP ini atau pada waktu-waktu lain sebagai usaha melindungi hak dan kepentingan pengguna.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive