Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

BANGI, 15 OKTOBER 2017– Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Razak malam ini menghadiri Malam Gala Varsity Entrepreneurship Skill and Talents (VEST) 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia, di sini.

VEST merupakan salah satu insiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama Perbadanan Nasional Berhad (PNS) di bawah Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang menerapkan budaya keusahawanan dalam kalangan pelajar universiti serta menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Program VEST yang berkonsepkan pertandingan keusahawanan ini telah melibatkan pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta yang telah bermula dari Mei 2017 dan tempoh pelaksanaan adalah selama enam bulan. Kira-kira 1600 dengan lebih 200 inovasi perniagaan diperkenalkan melalui pertandingan yang melalui pelbagai peringkat saringan ini.

Sebanyak 10 kumpulan layak bertanding di peringkat separuh akhir dan hanya tiga kumpulan dipilih untuk membentangkan model perniagaan di hadapan Perdana Menteri.

Sejumlah RM50,000 diperuntukkan bagi pemenang-pemenang. Pemenang tempat pertama dimiliki oleh Universiti Teknologi Petronas, Perak dengan inovasinya Aplikasi untuk mencari pekerjaan dengan membawa pulang RM 25,000 selaku juara.

Tempat kedua Universiti Putra Malaysia dengan memperkenalkan Cendol Serdang dengan hadiah sebanyak RM 15,000 manakala tempat ketiga dimenangi Universiti Kebangsaan Malaysia dengan membawa pulang RM 10,000.

Dato’ Seri Hamzah dalam sidang medianya berpuas hati dengan perjalanan Vest ini walaupun ada tindakan yang perlu dilakukan sebagai nilai tambah terutamanya dalam sesi soal jawab dan mendalami teknik perniagaan dalam skop yang lebih meluas.

Katanya, UKM sedia menawar diri untuk menjadi lokasi peringkat akhir pada tahun depan jika diberikan peluang sekali lagi walaupun ia belum dimuktamadkan.

Hadir sama, Menteri KPDNKK, Dato’ Seri Hamzah Zainudin, Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong,  Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


BINTULU, 13 OKTOBER 2017 – Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin hari ini melancarkan Friends Of KPDNKK (FOK) Peringkat Negeri Sarawak bertempat di Uma Balui Ukap, Sungai Asap, Belaga di sini.

Majlis pelancaran ini dilaksanakan oleh Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK Sarawak dengan kerjasama Skuad SMART Pengguna 1Malaysia yang bertujuan untuk memperkasakan suara pengguna di samping menggalakkan penyertaan orang ramai yang juga pengguna untuk menjadi mata dan telinga KPDNKK bagi mengatasi aktiviti-aktiviti kurang beretika yang dijalankan oleh segelintir peniaga.

Pada hari ini, seramai 31 Penyelaras Penyelaras Parlimen (PPP) dari seluruh negeri Sarawak menerima watikah pelantikan masing-masing bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk program-program kepenggunaan dan mendapatkan keahlian Friends Of KPDNKK (FOK).

Sehingga kini, seramai 49,475 orang telah mendaftar sebagai ahli FOK di negeri itu. Jumlah keahlian diseluruh negara adalah seramai 800,000 orang.

Pada majlis ini, Dato’ Seri Hamzah meluluskan geran sebanyak RM100,000 bagi membolehkan koperasi pendududk di sini untuk memulakan perniagaan kedai runcit bagi faedah penduduk setempat. Kedai yang bernaung di bawah nama Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M) itu dijangka dapat membantu mengurangkan kos sara hidup masyarakat tempatan dengan menjual barangan lebih murah dari harga pasaran.

Beliau turut menyumbang sebanyak RM 100,000 manakala Timbalannya, Dato’ Henry Sum Agong memperuntukkan sebanyak RM 10,000 untuk pengurusan rumah panjang itu.

Dianggar seramai 16,000 penduduk menghuni di kawasan Sungai Asap itu yang turut menjadi destinasi pelancongan dengan aktiviti yang disediakan di gugusan rumah panjang di sini.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Kepenggunaan), KPDNKK, Dato’ Razali Haji Othman serta Pengarah KPDNKK Sarawak, Dato’ Stanley Tan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


BANDAR UTAMA, 13 OKTOBER 2017 – Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin hari ini merasmikan Majlis Penutup Program Citarasa Malaysia (PCM) 2017 bertempat di Sri Pentas, Bandar Utama.

PCM adalah untuk memberi peluang kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan khususnya bumiputera untuk mengadakan aktiviti jualan dan memperkenalkan produk mereka. Kerjasama erat bersama hypermarket asing dalam Malaysia turut dilibatkan bagi tujuan mempromosikan produk PKS tempatan.

PCM turut membuka ruang kepada pengusaha PKS untuk terlibat dalam aktiviti merchandising dan packaging, di mana melalui kerjasama SIRIM dan Pusat Rekabentuk Kebangsaan (DDEC) untuk membantu usahawan PKS meningkatkan kualitit produk.

Selain itu, KPDNKK melalui PCM turut membantu mempromosikan produk menerusi media sosial dengan membeli slot iklan. Program ini mensasarkan 30 jenama produk PKS dan untuk tahun ini sahaja, sejumlah 76 usahawan PKS dengan lebih daripada 300 SKU mengambil bahagian.

Dalam majlis sama, Dato’ Seri Hamzah turut melancarkan logo transformasi produk KPDNKK yang baharu dan menyampaikan sijil penghargaan kepada 20 jenama PKS di bawah bimbingan KPDNKK.

Turut hadir Ketua Setiausaha, Dato’ Sri Jamil Salleh diiringi oleh Pengarah Bahagian Pembangunan Perniagaan, Ismainur Hadi Amat Bakeron.

Oleh: Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


KAPAR, 5 OKTOBER 2017 – Sesuai dengan slogan “Caring Ministry ”, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) komited untuk membantu ke arah kesejahteraan rakyat dan melindungi hak pengguna.

Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, KPDNKK turut menyokong dan membantu usaha untuk melahirkan usahawan berjaya di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Katanya, inovasi yang dihasilkan Kilang Tenusu Kumpulan Etika Dairies Sdn.Bhd dengan menggandakan jumlah keluaran dari 9,000 botol kepada 21,000 botol dalam tempoh sejam membuktikan bahawa syarikat ini bersungguh-sungguh untuk melebarkan jumlah pengedarannya.

Syarikat yang terkenal dengan jenama “Goodday” itu telah melancarkan dua produk minuman kotak berperisa madu dan limau yang dijangka mendapat sambutan baik di pasaran tempatan dan luar. Produk yang mendapat sentuhan dari teknologi Jepun ini dilihat sebagai satu lagi inovasi syarikat ini untuk terus bersaing di pasaran.

Sementara itu, Dato’ Seri Hamzah memuji inisiatif Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang melantik beberapa koperasi sekolah untuk membantu memasarkan produk keluaran syarikat ini.

Langkah ini dilihat sebagai satu inisiatif untuk melahirkan pelajar-pelajar yang sihat di samping memberi peluang kepada pelajar-pelajar yang menguruskan koperasi-koperasi sekolah untuk belajar menjadi usahawan.

Pada majlis ini, sebanyak 21 buah koperasi sekolah di Selangor, Kuala Lumpur dan Perak terplilih menerima 30 karton minuman Goodday untuk dijual di koperasi masing-masing .

Dato’ Seri Hamzah bercakap pada pemberita selepas melancarkan Kilang Tenusu Kumpulan Etika Dairries Sdn, Bhd di Taman Perindustrian Meru di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis ini, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK (Perdagangan Dalam Negeri), Dato’ Basaruddin Sadali dan pegawai-pegawai kanan KPDNKK.


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive