Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

TANJUNG MANIS, 5 Ogos 2017–  Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Dato’ Henry Sum Agong, hari ini hadir memeriahkan majlis perasmian Hari Koperasi Negara (HKN) 2017 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Tapak Pesta Pantai Belawai dekat sini.

Majlis yang dihadiri lebih enam ribu pengunjung itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mewakili Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Antara pengisian menarik majlis yang bermula sejak 4 Ogos dan berakhir pada 6 Ogos ini adalah penyampaian anugerah koperasi terbaik kepada  empat koperasi yang menunjukkan pencapaian cemerlang, Mock Cheque Pembiayaan koperasi bernilai 900 ribu hingga dua juta ringgit kepada empat koperasi serta pertukaran 15 Perjanjian Persefahaman (MoU) membabitkan 30 koperator seluruh negeri itu.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Asfia  Awang Nassar, Pengarah KPDNKK Negeri Sarawak, Datuk Stanley Tan, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Negeri dan pemimpin-pemimpin negeri dan daerah.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


TANJONG KARANG, 29 Julai 2017- Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), YB Dato’ Seri Hamzah Zainudin hari ini merasmikan Majlis Pelancaran Friends Of KPDNKK (FOK) Peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dewan Tan Sri Noh Omar, Lembaga Pertubuhan Peladang, Tanjong Karang, Selangor.

Pada masa yang sama, negeri Selangor adalah negeri bertuah yang kelima dipilih untuk siri pelancaran FOK peringkat negeri.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Razali Othman, Pengarah Bahagian Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Muez Bin Abd Aziz, Pengarah KPDNKK Selangor, Encik Ahmad Fauzi Bin Idris, Ketua Seksyen Kepenggunaan KPDNKK Selangor, Puan Norbaini Binti Zainudin, serta Ketua Cawangan KPDNKK Selangor, Encik Ramesh Kuppusamy.

#CaringMinistry #FOK #FriendsOfKPDNKK


KULIM, 28 JULAI 2017 – Lebih 500 mendaftar sebagai ahli Friends Of KPDNKK( FOK) pada  hari pelancaran program FOK Peringkat Negeri Kedah di Kelab Golf Kulim, Kulim Hi-Tech di sini petang tadi.

Majlis pelancaran yang ringkas tetapi meriah itu disempurnakan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin.

Upacara memotong riben sebagai simbolik pelancaran disambut dengan tepukan gemuruh oleh kira-kira 800 peserta yang hadir membanjiri dewan utama kelab tersebut.

Negeri Kedah adalah negeri keempat dalam siri penjelajahan ke seluruh negara bagi majlis pelancaran FOK peringkat negeri dan membolehkan gerakan pendaftaran keahlian dapat dilakukan dengan lebih giat oleh Pegawai-pegawai Penyelaras Parlimen yang dilantik di setiap kawasan Parlimen.

Dalam ucapannya, Dato’ Seri Hamzah mahukan agar usaha dipertingkatkan dengan menambah jumlah sedia ada bagi memperkukuhkan gelombang dan suara pengguna.

“Sebagai pengguna, kita perlu mempertahankan hak masing-masing dan tidak membiarkan peniaga mengambil kesempatan ke atas kita untuk melakukan perkara-perkara yang merugikan pengguna sendiri. Setiap perbuatan tidak beretika perlu dilaporkan ke pihak KPDNKK supaya ia dapat disiasat dan ditangani segera,” tegasnya.

Hadir sama pada majlis ini, Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan Dan Pengurusan) KPDNKK, Dato’ Razali Haji Othamn dan Pengarah Bahagian Gerakan Kepenggunaan KPDNKK, Dato’ Mohamad Bakri Ibrahim.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


PULAU PINANG, 27 JULAI 2017 – Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman, Kepala Batas, Kedah berjaya muncul juara bagi Cabaran Interaktif Pengguna- Kelab Pengguna Sekolah Peringkat Kebangsaan 2017 dengan mengetepikan cabaran 15 pasukan lain.
Sekolah ini mengungguli cabaran kali ini dengan turut meraih kejayaan bagi Anugerah Khas Pengguna Bijak. Mereka membawa pulang wang tunai RM 5,000, sijil penyertaan, Piala Pusingan, piala iringan, hamper serta pen drive.
Pasukan ini yang diwakili tiga peserta perempuan dan seorang lelaki memberi cabaran kepada pasukan-pasukan lain yang ternyata lebih berpengalaman dan bertenaga. Walaupun mereka tiba di garisan penamat agak lewat dari lain-lain pasukan, namun ketepatan menjawab soalan serta komitmen pasukan membantu mereka menamatkan semua cabaran yang disediakan di kesemua sepuluh lokasi di sekitar Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang dan menjulang mereka sebagai juara keseluruhan.
Naib johan menjadi milik Sekolah Menengah Sains Labuan manakala tempat ketiga dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pekan, Pahang. Naib johan membawa pulang wang tunai RM 3,000 manakala ketiga dengan RM 2,000 di samping sijil penyertaan dan barangan iringan.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Henry Sum Agong telah merasmikan penutupan program tahunan ini yang menemukan semua pemenang peringkat negeri masing-masing dalam pelbagai aktiviti yang mencabar.
Dalam ucapannya, Dato’ Henry mahukan supaya para peserta ini diberikan cabaran yang lebih menekankan kepada kerjasama berpasukan, kepentingan pengguna, membuat keputusan, pengurusan kumpulan serta kepimpinan sebagai serampang dua mata kepada peserta di samping melahirkan juara yang benar-benar bijak menguruskan kewangan dan perbelanjaan.
Cabaran yang bermula sejak 25 hingga 27 Julai ini, sungguh memenatkan dalam keadaan cuaca yang sangat panas. Mereka terpaksa berbasikal kesemua 10 lokasi yang ditetapkan di sekitar universiti ini untuk mencari maklumat dan menguji kehebatan kerja berpasukan.
Katanya, program ini perlu diadakan setiap tahun untuk membantu melahirkan generasi pengguna yang bijak serta mengetahui hak dan peranan mereka. Peserta juga berpeluang mempelajari budaya dan cara kehidupan masyarakat tempatan melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan itu.
Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis menjadi pemenang bagi Anugerah Khas Mesra Alam, Sekolah Menengah Kebangsaan Seafiled Subang Jaya, Selangor bagi Anugerah Nutri –X, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol yang mewakili Negeri Sembilan bagi Anugearh Bijak Wang manakala Anugerah 1 Pengguna 1 Suara menjadi milik Sekolah Menengah Sains Labuan, Wilayah Persekutuan Labuan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive