Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

PUTRAJAYA, 23 MEI 2017 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini melancarkan kempen #janganlebihlebih menjelang sambutan bulan Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Majlis pelancaran akan disempurnakan Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dalam perhimpunan bulanan kementerian ini, di sini pagi ini.

Video kempen berdurasi 20 saat setiap satu dalam tiga siri itu mengisahkan tentang tabiat suka membazir dan berlebihan dalam kalangan segelintir pengguna. Pembelian yang banyak mengatasi keperluan bukan sahaja dilihat sebagai satu pembaziran malah merugikan diri sendiri.

Kempen kesedaran ini akan mula disiarkan di media eletronik mulai hari ini selain dipaparkan juga di akhbar-akhbar utama,di serambi media sosial KPDNKK.

Pada sidang medianya, Dato’ Seri Hamzah mengajak semua pengguna agar sentiasa berhemah dalam berbelanja dan tidak mengikut hawa nafsu sehingga berlaku pembaziran terutamanya di bulan Ramadan nanti. Ibarat kata peribahasa, “ukur baju di badan sendiri ”.

Sebelum itu, Dato’ Seri Hamzah turut menyaksikan perjanjian persefahaman antara Maktab Koperasi Malaysia (MKM) dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPKM), Kementerian Sumber Manusia dalam usaha memperkasa pengurusan gerakan koperasi di negara ini.

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak mengambil kata sepakat untuk memberi peluang kepada pihak pengurusan memperoleh diploma lanjutan bersandar kepada pengalaman mereka mengurus koperasi selama bertahun-tahun.

Mereka berpeluang untuk melanjutkan pelajaran tanpa perlu pergi ke mana-mana kelas. Mereka hanya dikehendaki menduduki peperiksaan yang dikhaskan bagi membolehkan mereka dinilai dan layak untuk menerima segulung diploma.

Inisiatif ini membolehkan koperasi-koperasi diuruskan dengan lebih berkesan dan secara langsung memartabatkan gerakan koperasi di negara ini.


SEPANG, 19 MEI 2017 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini memperkenalkan Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan (SKHBR) 2017 bagi mengawal kenaikan harga yang tidak berpatutan  dan mencegah amalan mencatut dalam kalangan peniaga semasa menjelang bulan Ramadan ini.

SKHBR yang buat julung-julung kalinya diperkenalkan akan bermula dari 22 hingga 31 Mei 2017 iaitu lima hari sebelum dan lima hari semasa Ramadan.

Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin dalam sidang medianya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini berkata, skim ini dilaksnakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sepuluh barangan dipilih bagi pelaksanaan SKHBR 2017. Barangan tersebut adalah kacang tanah, kacang hijau, telur ayam gred A, B dan C, kelapa biji, kelapa parut, gula pasir putih bertapis kasar, gula pasir bertapis halus dan tepung gandum.

Menurut Dato’ Seri Hamzah, kawalan harga ini berdasarkan maklum balas orang ramai mengenai harga makanan yang dijual setiap kali bulan Ramadan. SKHBR ini dijangka dapat mengawal harga makanan siap masak dan kuih muih yang dijual tanpa lagi memberikan alasan harga barangan mentah turut mahal.

Perniaga diingatkan supaya menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum yang ditentukan kerajaan serta meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain.

KPDNKK akan bekerjasama dengan Friends Of KPDNKK, Jabatan Sukarelawan (RELA), Skuad Pengguna, Penghulu, Ketua Kampung serta JKKKsepanjang tempoh ini bagi memastikan tidak ada peniaga yang mengambil kesempatan atau melanggar akta sedia ada.

Hukuman seperti kompaun,denda atau penjara  boleh dikenakan ke atas mana-mana pihak yang sengaja mencabar undang-undang negara.

Orang ramai boleh membantu KPDNKK dengan melaporkan setiap kesalahan dengan menggunakan nombor 03-8000 8000 (1Malaysia Call Centre), talian bebas tol 1-800-886-800, email This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it., SMS ke 15888 dengan menaip aduan < butiran aduan atau hadir di mana-mana pejabat KPDNKK Negeri atau Cawangan.


PUTRAJAYA, 18 MEI 2017 – Kerajaan sentiasa komited untuk membantu menyelesai serta menangani isu-isu kemiskinan masyarakat bandar secara holistik melalui pendekatan-pendekatan serta strategi-strategi yang berkesan.

Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Menangani Kemiskinan Bandar Bilangan  1 / 2017 yang berlangsung di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini dipengerusikan TImbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan dihadiri beberapa Menteri Kabinet, pengurusan tertinggi serta pegawai-pegawai kanan kementerian-kementerian yang terlibat.

Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid berkata, kenaikan yang membabitkan kos harga makanan,perumahan dan pengangkutan itu sangat membelenggu rakyat terutamanya golongan miskin bandar. Katanya, beberapa perkara sedang dikaji bagi melihat punca yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup yang tinggi di kawasan bandar khususnya.

“Mesyuarat ini sebagai menifestasi terhadap usaha-usaha kerajaan yang sepakat dan komited dalam membantu rakyat. Beberapa cadangan dipersetujui seperti mewujudkan satu jawatankuasa bersama antara kementerian untuk mengkaji kos pengeluaran dan kos di sepanjang rantaian pengedaran bagi mengelak manipulasi harga oleh orang tengah,” ujarnya.

Di antara perkara yang dipersetujui bersama ialah mengkaji cadangan pelaksanaan program bantuan makanan kepada golongan miskin bandar di antara kementerian melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) serta syarikat hypermarket dalam menyediakan makanan sejuk beku.

Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid juga memaklumkan bahawa pendekatan yang sama akan dikembangkan ke universiti awam dan swasta melalui program makanan bermasak yang dijual pada harga berpatutan kepada pelajar khususnya di bandar-bandar besar serta melaksanakan program pembangunan usahawan.

Kerajaan juga akan memperkenalkan program-program termasuk program keusahawan, meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam pada kadar munasabah, bantuan pengurusan kewangan, latihan kemahiran dan program mentoring.

Pusat sehenti di kawasan komuniti miskin bandar akan diwujudkan sebagai pusat rujukan kepada pelbagai agensi bagi membantu golongan berkenaan serta mengumpul maklumat mengenai bilangan pemilikan dan penyewaan rumah.

Mesyuarat juga mengambil ketetapan dengan cadangan untuk pemberian insentif kepada pemaju dan membina rumah mampu milik menggunakan teknologi terkini seperti Sistem Bangunan Berindustri (IBS) bagi menguranglan kos pembinaan rumah.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


LANGKAWI, 16 MEI 2017 – Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Abdullah menyaran penduduk menerusi inisiatif Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) Pulau Tuba menubuhkan koperasi penduduk bagi membantu mengurangkan kos sara hidup penduduk pulau itu.

Koperasi yang dicadangkan itu akan mengusahakan kedai runcit bagi faedah penduduk yang selama ini sering mengeluh kerana barangan yang dijual peniaga tempatan agak mahal atas alasan kos pengangkutan.

Katanya, jika seorang penduduk atau satu keluarga membayar sebanyak RM 100 , maka secara kasarnya koperasi itu mempunyai sebanyak RM 100,000 berdasarkan kepada kiraan seramai 1,000 keluarga.

Untuk rekod, Pulau Tuba mempunyai kira-kira 5,000 penduduk di bawah pengurusan enam JKKK.

Dato’ Seri Hamzah berkata, pihaknya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) akan memberi pinjaman bagi memulakan perniagaan itu.

“Dengan adanya koperasi penduduk ini nanti, kita bukan sahaja dapat mengurangkan harga jualan malah kos pengangkutan barangan dengan bot atau feri dari Jeti Kuah, Langkawi turut dapat dijimatkan,”.

Dengan penjadualan semula waktu untuk membawa masuk minyak petroleum ke pulau ini dengan menggunakan feri khas, penduduk turut mendapat manfaatnya untuk menumpang feri tersebut sama ada untuk membawa barangan atau keperluan lain.

Darto’ Seri Hamzah berkata demikian di majlis ramah mesra ketika mengadakan lawatan dan berjumpa dengan penduduk serta pemilik syarikat Petro Teguh (M) Sdn. Bhd, penyelia Portable Container System (PCS) dekat sini hari ini.

Portable Container System (PCS) merupakan sebuah stesen minyak yang dikawal selia oleh syarikat minyak mini bagi membekalkan bahan bakar petroleum ke kawasan pedalaman, luar bandar dan juga lokasi yang terpencil.

PCS Pulau Tuba ini menyimpan bekalan bahan bakar (petroleum dan diesel) 27,000 liter pada satu-satu masa bagi menampung keperluan penduduk.

Beliau turut menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan asas kepada penduduk kampung.

Hadir sama, Ketua Setiausaha, Dato’ Sri Jamil Salleh, Ahli Parlimen Langkawi, Dato’ Ir. Nawawi Ahmad dan Pengarah KPDNKK Kedah, Mohamad Fitri Hassan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive