Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
SYARIKAT MINYAK PERLU TINGKATKAN INOVASI DAN KREATIVITI BAGI WUJUDKAN PERSAINGAN

image

PUTRAJAYA, 12 NOVEMBER 2019 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mencadangkan supaya syarikat minyak menggunakan inovasi dan kreativiti bagi menarik pelanggan di samping membantu rakyat menangani kos sara hidup.

Stesen minyak dicadangkan agar menjual minyak di bawah harga pasaran yang ditetapkan kerajaan dengan meningkatkan kecekapan dan inovasi mengenai langkah terbaik dalam memastikan harga produk petroleum pada tahap yang kompetatif.

“Perkara ini akan dibincang lanjut dengan enam syarikat minyak utama dan sekiranya cadangan ini disambut baik dan bersedia mengamalkan prinsip persaingan yang baik melalui inovasi dan meningkatkan kecekapan, sudah tentu ia membantu mengurangkan harga produk petroleum di negara ini,” katanya ketika berucap di Simposium Persaingan Setara dan Kos Sara Hidup di sini, hari ini.

Katanya, terdapat kira-kira 3,500 buah stesen minyak di seluurh negara yang dipelopori bukan hanya satu syarikat tetapi enam syarikat minyak utama di negara ini.

Perniagaan runcit minyak ialah perniagaan kuantiti dan bukan margin. Mereka mengharapkan kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan menaikkan margin bagi membolehkan mereka menikmati sedikit keuntungan melalui hasil jualan.

Beliau berharap agar pengguna dan syarikat minyak dapat memberikan maklum balas mengenai cadangan ini sebagai salah satu langkah mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


KENDERAAN BAHARU UNTUK PERKASA TUGAS PENGUATKUASAAN

image

PUTRAJAYA, 10 OKTOBER 2019 – Bahagian Penguatkuasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini menerima sebanyak 71 kenderaan baharu sebagai tambahan kepada 157 kenderaan sedia ada sebagai usaha memperkasa tugas-tugas penguatkuasaan di seluruh negara.

Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan kepentingan pengguna, kenderaan-kenderaan ini bagi memudahkan urusan siasatan, pemantauan, penguatkuasaan serta pendakwaan selain tugas-tugas pentadbiran harian.

Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz hari ini melakukan penyerahan kepada Pengarah Penguatkuasa, Dato’ Haji Iskandar Halim Sulaiman dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Dewan Serbaguna kementerian ini, hari ini.

Dalam ucapannya, beliau berharap agar kenderaan yang dibekalkan kepada setiap daerah ini dijaga dengan baik dan tidak disalahgunakan untuk tujuan yang bukan rasmi. Tindakan tegas boleh diambil ke atas mana-mana pegawai yang mengabaikan aspek kebersihan dan tidak menjaganya dengan baik dan cermat.

Pihaknya tidak teragak-agak menarik balik mana-mana kenderaan sekiranya didapati tidak dijaga dengan baik kerana setiap kenderaan membawa imej dan nama baik kementerian pada setiap masa.

“Kementerian prihatin dengan keperluan dan kekangan pegawai-pegawai penguat kuasa ketika menjalankan tugas seharian. Perkembangan semasa menuntut pegawai-pegawai penguat kuasa bertindak pantas dan cekap dalam memenuhi tuntutan pengguna,” ujarnya lagi.

Terdapat dua jenis kenderaan, Perodua Arus dan Toyota Hilux yang diagihkan kepada semua daerah mengikut kesesuaian muka bumi dan keperluan penugasan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


GLOBAL ARTS & CREATIF SDN. BHD MUNCUL PEMENANG FRANCAIS TERBAIK BAGI 2019

image

KUALA LUMPUR, 4 OKTOBER 2019 – Global Arts & Creative Sdn.Bhd (Global Arts) malam tadi dinobatkan sebagai Francais Terbaik bagi tahun 2019 pada Malam Anugerah Francais Malaysia 2019 yang berlangsung di ibu negara .

Be Creative Studio yang merupakan francaisi kepada Global Arts memenangi kategori Anugerah Harapan Malaysia Terbaik. Global Art menerima trofi, sijil anugerah yang disampaikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Ismail. Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Perdagangan Dalam Negeri, KPDNHEP, Datuk Badrul Hisham Mohd.

Global Arts mengenepikan cabaran 35 finalis yang tersenarai ke peringkat akhir yang memasuki tahun ke-22 penganjuran anugerah ini. Syarikat ini turut memenangi tiga anugerah lain, iaitu francaisor terbaik, fancaisor antarabangsa serta inovasi francais terbaik.

Datuk Seri Saifuddin mengalu-alukan pertumbuhan industri francais yang membantu menyumbang untuk KDNK negara dengan memberikan pulangan yang besar kepada golongan pengusaha.

Beberapa kategori baharu diperkenalkan seperti Anugerah Rancangan Perniagaan Francais Terbaik dan Anugerah Wartawan Terbaik. Anugerah Rancangan Perniagaan disandang Universiti Malaysia Kelantan manakala Wartawan Terbaik dimenangi RTM menerusi Siti Hanila Bowhani.

Industri francais dilihat berpontensi bukan sahaja menjadi sektor utama yang memberi impak tinggi dalam pembangunan keusahawanan, malah ia mampu membuka banyak peluang pekerjaan dan memberi nilai tambah kepada pengguna.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


YBM SERAH TRAK CHILLER UNTUK FOOD BANK

image

PUTRAJAYA, 12 SEPTEMBER 2019 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini menyerahkan trak chiller untuk kegunaan Food Bank kepada lima penerima dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Anjung Seri kementerian ini petang tadi.

Trak yang beratnya satu tan setiap satu diserahkan kepada Yayasan Food Bank Malaysia (YFBM) yang diterima Ketua Pegawai Eksekutifnya, Haji Abd Wahab Long, manakala empat lagi kepada lima Pengarah KPDNHEP Negeri masing-masing mewakili negeri Terengganu, Selangor, Sabah dan Sarawak.

Awal tahun ini, Menteri Kewangan, Tuan Lim Guan Eng telah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada KPDNHEP untuk menyediakan 14 unit lori dilengkapi pendingin (chiller) bagi tujuan pelaksanaan Program Food Bank Malaysia dalam mengagihkan bekalan makanan kepada golongan B40 termasuk senarai penerima di 20 Universiti Awam di Malaysia.

KPDNHEP percaya dengan adanya sumbangan chiller truck ini, pihak YFBM akan dapat melaksanakan Program Food Bank Malaysia dengan jayanya.

Program Food Bank Malaysia adalah satu program yang diwujudkan untuk membantu meringankan kos sara hidup yang ditanggung oleh golongan isi rumah yang berpendapatan kurang daripada RM1,500 (kawasan bandar) atau di bawah RM1,000 (kawasan luar bandar) sebulan.

KPDNHEP telah melaksanakan program dengan melakukan projek perintis pada Ogos 2018 di Pulau Pinang dan seterusnya dilaksanakan di beberapa buah negeri lain seperti Kelantan, Melaka, Johor, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Negeri Sembilan.

Perlaksanaan Program ini berjalan dengan lancar dengan adanya sokongan penuh daripada empat NGO sebagai Rakan Strategik Utama iaitu Kechara Soup Kitchen dan Food Aid Foundation, Mutiara Food Bank dan The Lost Food Project yang berperanan untuk mengumpul dan mengagihkan lebihan makanan daripada penyumbang di seluruh negara untuk diagihkan kepada senarai penerima yang layak.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan Dalam Negeri), Datuk Badrul Hisham Mohamad dan Pengarah-pengarah Bahagian serta Ketua Agensi di kementerian ini.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive