Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
PERKASA INTEGRITI SEKTOR AWAM

image

PUTRAJAYA, 12 SEPTEMBER 2019 – Kesejahteraan dan kemajuan negara lahir bermula dari sebuah kerajaan yang berintegriti tinggi dan tugas ini memerlukan khidmat dan sokongan semua pihak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, seseorang pemimpin yang baik adalah seorang yang sentiasa berpegang kepada janji dan mengotakan apa yang dikata.

Berucap pada majlis pembentangan draf Strategi Pembangunan Pelan Anti Rasuah (OACP) KPDNHEP bagi tahun 2019 – 2023 di Dewan Serbaguna kementerian ini petang tadi, Datuk Seri Saifuddin berkata, pelan strategik ini bakal dijadikan bahan rujukan dan panduan bagi lain-lain kementerian dan agensi kerajaan kerana KPDNHEP adalah salah satu daripada tiga kementerian yang terpilih untuk projek perintis bagi membangunkan pelan strategik ini.

Katanya, Bahagian Integriti KPDNHEP segera menyahut cabaran tatkala rancangan ini dibentangkan di peringkat kementerian awal tahun ini dan ia dijangka dapat diguna pakai sebelum akhir tahun ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz, Timbalan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti rasuah Nasional (GIACC), Datuk Dr. Anis Yusal Yusof, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdangan Dalam Negeri), Datuk Badrul Hisham Mohamad dan Pengarah Integriti KPDNHEP, Dato’ Tan Kang Sai dan Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri.

Pelan Strategik yang mula dibangunkan ini menekan isu-isu pentadbiran, perolehan serta disiplin warga kerjanya. Ia terhasil selepas Perdana Menteri mengumumkan untuk menjadikan kerajaan baharu ini sebagai sebuah kerajaan yang bebas rasuah dan penuh berintegriti.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


BERSAMA RANGKA PELAN STRATEGIK KPDNHEP 2021-2025

image

PUTRAJAYA, 11 SEPTEMBER 2019 – Seramai 70 peserta yang mewakili Bahagian dan Agensi di dalam Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bergabung selama dua hari untuk merangka Pelan Strategik KPDNHEP bagi 2021 hingga 2025.

Bengkel yang dikelolakan Bahagian Dasar, Perancangan Strategik dan Antarabangsa (BPDSA) serta dibantu MIGHT berpaksikan kepada keadaan semasa atau senario untuk membolehkan peserta-peserta menghasilkan pelan strategik yang tepat dan sesuai bagi kementerian ini.

“Berdasarkan senario atau situasi semasa membolehkan peserta-peserta menghasilkan pelan strategik yang komprehensif, praktikal, boleh diukur serta logik kerana ia diambil dari pengalaman situasi semasa,” ujar Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz ketika berucap merasmikan Bengkel Pembangunan Pelan Strategik KPDNHEP 2021-2025 di Hotel Pulse Grande dekat sini hari ini.

Katanya, komitmen semua peserta akan menghasilkan satu pelan strategik yang akan dibawa untuk persetujuan Menteri KPDNHEP untuk penambahbaikan sesuai dengan hala tuju dan wawasan beliau.
 Datuk Muez juga percaya bahawa pelan strategik yang akan dihasilkan melalui tiga bengkel menjelang hujung tahun ini akan menjadi rujukan dan dasar kementerian kelak.

Hadir sama, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha, Pengarah BPDSA, wakil MIGHT dan Pengarah-pengarah Bahagian.

Katanya lagi, KPDNHEP mestilah memfokus kepada permasalahan rakyat kerana mereka adalah pemegang taruh bagi kementerian ini dan sudah tentunya pelan ini nanti akan menjurus kepada kesejahteraan mereka.

“KPDNHEP juga mengambil langkah proaktif dengan merangka pelan strategik bagi tahun 2010-2025 bagi membolehkan segala perancangan dibuat berdasarkan kepada perancangan dan strategi yang digariskan. Keperluan untuk mendapatkan peruntukan dari kerajaan juga boleh bersandarkan kepada pelan strategik ini,” ujarmya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


LAKUKAN PEMANTAUAN UNTUK PASTIKAN BEKALAN MENCUKUPI

image

KOTA KINABALU, 6 SEPTEMBER 2019 – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Muez Abd Aziz mengingatkan pegawai-pegawai penguatkuasa yang terlibat di kawasan-kawasan yang mempunyai point of sales (POS) agar sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk kegunaan masyarakat setempat.

Katanya, sikap alpa atau jarang turun padang boleh mengundang masalah-masalah seperti penghantaran barang-barang tidak mengikut masa, tidak mencukupi jumlahnya atau isu-isu lain yang memberi kesan kepada pengguna-pengguna setempat.

“Saya tidak mahu kekurangan bekalan yang dialami masyarakat Pulau Tuba di Langkawi berulang lagi di mana-mana pos yang ada kerana ia menggambarkan ketidakcekapan pegawai yang mengurus atau memantaunya.
 Katanya, pos-pos ini hanya diwujudkan di beberapa lokasi sahaja iaitu di Sabah, Sarawak, di Pulau Tuba Langkawi dan di Dabong, Kelantan. Tidak ada sebab mengapa pemantauan kurang dilakukan bagi memastikan semua urus niaga berjalan dengan baik.

Datuk Muez berkata demikian ketika merasmikan penutup Bengkel Hala Tuju Program Penyeragaman Harga di Hotel Klagan di sini, hari ini. Ia dihadiri pegawai-pegawai penguatkuasa negeri, pegawai-pegawai pemantau harga dari ibupejabat dan negeri-negeri terlibat.

Hadir sama pada majlis ini, kedua-dua Timbalan Ketua Setiausaha, Pengarah-pengarah Negeri Sabah dan Sarawak serta Pengarah-pengarah Bahagian KPDNHEP.

Datuk Muez juga mahukan supaya semua bil tuntutan diproses segera bagi mengelakkan berlaku kelewatan atau gangguan semasa berurus niaga.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


PETUNJUK POSITIF DALAM EKONOMI NEGARA

image

PETALING JAYA, 6 SEPTEMBER 2019 – Perangkaan terkini yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa ekonomi negara menunjukkan perkembangan kepada 4.5 peratus dalam suku tahun kedua tahun ini.

Sektor perkhidmatan kekal pada paras 6.5 peratus manakala sektor pemborongan dan peruncitan mencatatkan kenaikan sebanyak 7.3 peratus yang disumbangkan menerusi urusniaga cergas isi rumah dalam negara.

Kajian Grand Thornton International Report (IBR) menyatakan masa depan urusniaga di negara ini melonjak daripada 24 peratus kepada 52 peratus pada akhir suku tahun kedua 2018 berbanding cuma 28 peratus dalam suku pertama tahun ini.

Peningkatan ini menunjukkan urusniaga tempatan mencatatkan kenaikan yang tertinggi dalam rantau ASEAN.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Tuan Chong Chiang Jen yang mewakili Menteri KPDNHEP berkata, sungguhpun pertumbuhan positif ini memberi khabar gembira, namun saya masih memandang serius kepada isu kos sara hidup.

Di antara faktor yang menyumbang kepada isu sara hidup ini ialah makanan, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan perumahan.

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap perdagangan dalam negeri, kami akan memberi fokus utama kepada isu-isu yang berbangkit itu. Salah satu inisiatif yang diambil ialah dengan memperkenalkan program Food Bank Malaysia yang bermatlamat untuk membantu golongan yang berpendapatan rendah dalam menangani isu kos sara hidup,” ujarnya ketika berucap pada majlis Malaysia AEON Foundation Charity Gala Dinner 2018 di Grand Sunway Convention Centre di sini, malam tadi.

Malam yang bertemakan “Under Our Wings” di antara lain bertujuan mengutip dana bagi tabung kebajikan dan program-program tanggungjawab sosial korporat yang dijalankan mereka. Melalui program ini, AEON berhasrat mewujudkan kerjasama dua hala di antara pihak syarikat dengan masyarakat. Melalui aspirasi ini, usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan dapat dilaksanakan dengan lebih meluas dan berkesan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive