BUKIT MERTAJAM, 1 JUN 2019 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan sebanyak dua peniaga sahaja daripada sejumlah 28,242 peniaga yang diperiksa sempena Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang bermula 21 Mei lalu.
Kesalahan kedua-dua peniaga ini ialah menjual barangan yang dikawal sempena SHMMP ini melebihi had siling yang ditetapkan. Sementara itu, seramai 110 peniaga dikenakan notis kerana gagal meletakkan tanda harga.
Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika ditemui di majlis Iftar Bersama Pengamal Media Negeri Kedah dan Pulau Pinang di sini berkata, perkembangan ini menunjukkan bahawa peniaga dan pemborong telah mematuhi segala arahan dan peraturan yang ditetapkan. Suasana ini memberikan impak yang baik samada kepada peniaga mahupun pengguna sendiri.
Katanya, dalam jangka masa 10 hari, pemeriksaan yang dijalankan pegawai-pegawai penguatkuasa kementerian ini mendapati bahawa peniaga akur dengan arahan kerajaan. Pihaknya, akan mempertingkatkan pemantauan berterusan bagi memastikan tidak berlaku pelanggaran arahan semasa pelaksanaan SHMMP ini.
“Kerajaan peka terhadap keperluan dan kehendak rakyat dengan menambah barangan keperluan yang banyak digunakan di musim perayaan seperti kacang tanah, ikan kembong, kacang panjang dan beberapa barangan lain agar tiada peniaga yang menjualnya dengan harga yang tidak munasabah,” tambahnya.
Hadir sama pada majlis ini, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail dan Pengarah KPDNHEP Kedah dan Pulau Pinang.
Datuk Seri Saifuddin juga menghargai kerjasama serta sumbangan media dalam membantu melaporkan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan bagi pengetahuan umum. Katanya, tidak ada maknanya pelbagai program dilakukan tetapi rakyat tidak menyedarinya.
Beliau akan terus memperkenalkan program-program baharu untuk rakyat dan media adalah antara pihak yang terawal mendapat tahu tentangnya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP