Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap
PROGRAM JUALAN KEMBALI KE SEKOLAH DATANG LAGI

PUTRAJAYA, 23 DISEMBER 2020 – Selaras penamatan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pengenalan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sesetengah tempat pada 7 Disember 2020, Program Jualan Malaysia (PJM) dan Kempen Beli Barangan Malaysai (KBBM)  diperluaskan kepada para pengguna dan sempena dengan penggal persekolahan tahun 2021 yang bakal tiba tidak lama lagi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menganjurkan Program Jualan Kembali Ke Sekolah.

Program Jualan Kembali ke Sekolah ini telah diadakan sejak tahun 2011 dengan kerjasama sektor peruncitan seperti pasar raya besar, pasaraya dan syarikat pengeluar kelengkapan persekolahan. Dari tahun ke tahun, setelah kempen ini mendapat sambutan yang hebat daripada masyarakat dan pengguna, sektor peruncitan telah dengan sendirinya memasukkan promosi Jualan Kembali Ke Sekolah ke dalam kalendar promosi mereka pada setiap tahun.

Program tahunan ini dilancarkan Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi di lobi Anjung Seri KPDNHEP hari ini. Antara lain program ini diadakan untuk menggalakkan perbelanjaan domestik dan membantu para pengguna dalam mendapatkan kelengkapan persekolahan.

Program ini juga untuk membantu pengguna khususnya para ibu bapa untuk mendapatkan keperluan persekolahan anak-anak pada harga promosi dan berpatutan. Melalui kempen Kembali Ke Sekolah atau Back To School ini, semua pasaraya dan syarikat-syarikat pengeluar yang menjual kelengkapan persekolahan seperti pakaian seragam, buku dan alat tulis diseru untuk menawarkan potongan harga istimewa melalui permohonan jualan murah atau kempen penurunan harga.

KPDNHEP turut memudahkan proses permohonan jualan murah ini kepada peniaga. Peniaga hanya perlu mengemukakan Notis Jualan Murah secara dalam talian melalui aplikasi My Sales Tracker, dan dalam tempoh 24 jam daripada permohonan dikemukakan, peniaga sudah boleh mengadakan jualan murah.

“Syarikat yang terlibat pada hari ini adalah syarikat-syarikat besar seperti Aeon Big, Mydin, The Store, Canggih dan Pusat Pakaian HariHari.  Kerjasama sebegini akan dapat diteruskan di cawangan syarikat di seluruh negara bagi faedah pengguna terutamanya bagi golongan ibu bapa yang terkesan secara langsung atau tidak langsung akibat wabak Covid-19, dan dalam masa yang sama perlu menyiapkan keperluan dan peralatan persekolahan anak-anak mereka,” tambahnya.

Pada majlis ini, beliau memperkenalkan inisiatif terbaharu daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam membantu golongan peniaga yang terjejas berikutan akibat pandemik Covid-19 di Malaysia.

“Sebagai sebuah kementerian yang prihatin, fokus kementerian terarah kepada usaha membantu dua kumpulan sasar iaitu pengguna dan golongan peniaga. Justeru, kementerian melalui SSM memperkenalkan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP) berkuat kuasa mulai 23 Disember 2020, bermula hari ini, SSM memperluaskan tawaran khusus di bawah Skim 1 Pelajar 1 Perniagaan (S1P1P) kepada golongan belia dan ibu tunggal dalam kumpulan berpendapatan B40 untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma di SSM.

Kategori yang layak untuk memohon SPPP ialah  kategori belia berpendapatan B40, kategori ibu tunggal berpendapatan B40 dan kategori pelajar. Kementerian ini menyeru kepada golongan yang layak untuk memanfaatkan skim ini supaya dapat mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui Portal Ez-Biz Online di pautan ezbiz.ssm.com.my.  

Hadir sama pada majlis ini, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha, Ketua Pegawai Eksekutif SSM dan Pegawai-pegawai kanan KPDNHEP.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


SELAYANG, 19 DISEMBER 2020 – Francais Mikro atau Francais Mampu Milik. Ini lagi satu inisiatif yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  bagi membantu golongan muda untuk memulakan perniagaan atau apa yang diistilahkan “Lowering The Initial Setup Cost of A Business

Usaha mewujudkan program Francais Mikro ini adalah untuk menggalakkan penyertaan dari golongan muda terutama belia untuk menyertai industri perniagaan francais selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Francais Nasional (PIPFN) 2021-2025 yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan melalui KPDNHEP.

 

Menurut Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, KPDNHEP sentiasa menggalakkan usahawan muda terutama bumiputera untuk menerokai bidang keusahawanan dan perniagaan terutama yang berdaya saing, sistematik dan terjamin. Francais adalah salah satu bidang tersebut.

“Ramai orang kata, francais adalah salah satu bidang business yang mahal dan memerlukan modal awal yang tinggi,” ujarnya.

 

Beliau berucap ketika merasmikan Flagship Outlet Coconut Shake 336 Selayang18 di sini hari ini. Katanya, kementerian sentiasa mencari jalan untuk permudahkan atau ‘Ease of Doing Business’.

Di masa yang sama, KPDNHEP  akan menyokong usaha Coconut Shake 336 mendaftarkan perniagaan mereka dalam Skim Harta Intelek di bawah MYIPO dan sekali gus membantu mereka mendaftar menjadi francaisor baru di bawah program Francais Mikro setelah memenuhi semua persyaratan yang diperlukan.

 

Untuk rekod, 336 Brand Sdn. Bhd. adalah sebuah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang bergerak dalam  bidang makanan dan minuman. Antara produk dan jenama mereka termasuklah Nasi Ayam 336, Mr Sushi 336 dan yang terbaru Coconut Shake 336.

 

“KPDNHEP  berharap supaya perancangan serta komitmen mereka untuk membuka 50 outlet baru dalam tempoh 24 bulan di Lembah Klang meliputi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tercapai. Mereka juga membuka peluang kepada francaisi di luar lembah Kelang jika mereka berminat,” tambahnya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


PUTRAJAYA, 21 PUTRAJAYA  2020 – Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Haji Hasnol Zam  Zam Haji Ahmad menyaran agar warga kerja KPDNHEP menyertai Koperasi Warga KPDNHEP Berhad supaya pulangannya dapat dinikmati bersama.

“Ibarat melabur ala gotong-royong, keuntungan yang dinikmati koperasi hasil pelaburan dan perniagaan boleh dinikmati bersama.Katanya, jumlah keanggotaannya masih kecil, namun ada inisiatif disediakan untuk kepentingan ahli.

Beliau menyeru supaya semua warga KPDNHEP mengambil langkah positif sebagai sokongan dan kerjasama atas prinsip semangat berkumpulan.

“Saya tertarik dengan perancangan program tahun depan dan seimbang dengan jumlah tabungan koperasi. Jangan ditanya apa yang koperasi dapat sumbangkan kepdta kita, tetapi tanyalah diri sendiri yang seharusnya berbakti kepada koperasi. Kita doakan semoga tahun ini, koperasi dapat membayar dividen yang munasabah. Biro keahlian diminta bekerja kuat sebagai promosi dan dapat menarik minat warga kementerian ini menyertai koperasi ini,” ujarnya semasa merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-7, Koperasi Warga KPDNHEP 2020 di Dewan Serbaguna KPDNHEP di sini, hari ini.

Pengerusi Koop, Haji Ismailnur Hadi Bakeron pula berkata, koperasi berhasrat untuk membuka perniagaan stesyen minyak di sebuah lokasi di Putrajaya dan dapat membayar dividen untuk beberapa tahun sebelum ini bagi mengikat keahlian yang rata-rata kian pudar untuk prestasi koperasi sebelum ini.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


PUTRAJAYA, 18 DSEMBER 2020 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) telah mengenal pasti sebanyak 19 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) Krismas 2020. Antara kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi.  

KPNDHEP akan melaksanakan SHMMP 2020 sebagai langkah kawalan harga barangan keperluan perajaan menjelang Krismas yang akan disambut pada 25 Disember  2020 diseluruh negara.

Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP KRISMAS 2020 adalah selama 10 hari iaitu selama tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan enam hari selepas hari perayaan dari 22 Disember hingga 31 Disember 2020. Skim ini akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Ketika mengumumkan SHMMP ini, Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, SHMMP Krismas 2020 secara tidak langsung dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah terhadap barangan keperluan yang menjadi keutamaan dan banyak digunakan semasa perayaan ini  semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Katanya, walaupun perayaan Krismas 2020 disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan Krismas tetap ada dan dijangka akan meningkat berbanding semasa bukan hari perayaan.

 

“Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan trend harga semasa dan semasa menjelangnya hari perayaan. Selain itu, terdapat juga harga yang ditentukan lebih rendah dan kekal sepertimana pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2020 yang lalu,” ujarnya. Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam Hj Ahmad dan Pengarah Penguat Kuasa, Haji Azman Adam.

Menurutnya lagi, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.

           

        “ Sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan-alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan terlalu tinggi, Kementerian boleh bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 yang mula kuatkuasa pada 6 Jun 2018,” tegasnya serta mengingatkan bahawa Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.  

         “Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti mengambil keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,” katanya.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive