PUTRAJAYA, 3 JANUARI 2025, JUMAAT – Seluruh warga kerja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di seluruh negara bersama-sama dalam satu majlis bertempat di Dewan Serbaguna KPDN dan juga secara dalam talian (live streaming) untuk mendengar Amanat Tahun Baharu 2025 yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim yang telah berlangsung di Dewan De’Seri Endon Puspanitapuri, Putrajaya.
Majlis yang dimulakan dengan ucapan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara (KSN) ini menekankan kepentingan kepada penjawat awam untuk bekerja dalam pasukan dan perlu berdaya saing serta mengaplikasikan kaedah terkini selain memastikan untuk tidak terlibat dengan isu-isu ketidakpatuhan integriti yang boleh mencacatkan kefungsian penjawat awam.
YAB Perdana Menteri melalui amanatnya berharap penjawat awam dapat memberikan perubahan menyeluruh kepada negara dalam setiap peringkat. Ini kerana khidmat dan jasa masing-masing memainkan peranan tersendiri dalam membawa perubahan dalam bidang tugas yang diberikan daripada setinggi-tinggi peranan sehingga serendah-rendahnya.
Sejurus majlis penyampaian amanat, YBhg. Dato’ Seri Mohd Sayuthi bin Bakar, Ketua Setiausaha KPDN dalam Majlis Perhimpunan bersama warga KPDN Ibu Pejabat turut mengulas semula inti pati ucapan YAB Perdana Menteri dan KSN dan berharap semua warga KPDN dapat memperkasa dan meneliti semula kefungsian tugas di KPDN dalam sesi pemukiman (retreat) kementerian yang akan diadakan nanti.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat