anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 MyIPO SEDIA DANA RM2 JUTA UNTUK USAHAWAN DAFTAR HARTA INTELEK MENERUSI INISIATIF DAYA KREATIF

WhatsApp Image 2023 01 26 at 12.48.03 PM

PUTRAJAYA, 26 JANUARI 2023, KHAMIS– Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Seri Salahuddin Ayub telah melancarkan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 berjumlah RM2 juta di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menerusi Inisiatif DAYA Kreatif yang diadakan di Dewan Serbaguna KPDN, Putrajaya.

DAYA merupakan salah satu jenama inisiatif KPDN yang menekankan kepada strategi mendaya upayakan rakyat dalam menangani isu Kos Sara Hidup. DAYA Kreatif memberi fokus kepada pemain industri kreatif di Malaysia menerusi fasilitasi pemerkasaan dan membangunkan kesedaran berkenaan hakcipta.

Menurut, YB Datuk Seri Salahuddin, dana ini yang merupakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 dijangka memberi manfat kepada hampir 2,000 usahawan terutamanya daripada sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS). Ia merangkumi pembiayaan fi bagi kesemua pemfailan komponen harta intelek termasuk kos bagi kerja yang memerlukan khidmat profesional dan teknikal seperti penderafan paten.

Tambahnya lagi, menerusi dana ini pihak Kerajaan akan membiayai kos pemfailan cap dagangan, paten, hak cipta, rekabentuk perindustrian dan petunjuk geografi. Pemberian dana ini bertujuan meringankan beban usahawan-usahawan tempatan seterusnya meningkatkan daya saing melalui perlindungan harta intelek dan merangsang ekonomi negara.

Selain itu dana ini juga turut membantu meningkatkan pemfailan harta intelek tempatan. Sebelum ini, MyIPO turut menawarkan dana yang sama pada 2016 sehingga 2020 di bawah Rancangan Malaysia ke-11 berjumlah RM2.5juta.

Sepanjang tempoh tersebut, seramai 1,465 usahawan telah mendapat manfaat melalui pemberian dana ini. Permohonan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 boleh dibuat secara dalam talian atau hadir ke ibu pejabat dan cawangan MyIPO berhampiran.