anms | FAQ BM | CONTACT BM | FEEDBACK BM | SITEMAP BM
Laman Utama Media Berita KPDN Berita Terkini 2023 5,000 LITER MINYAK DIESEL BERSUBSIDI DIRAMPAS PENGUAT KUASA KPDN

image

PUTRAJAYA, 23 MAC 2023 – Satu aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya ditumpaskan menerusi OPS TIRIS dalam serbuan yang dilakukan ke atas sebuah premis tanpa nombor di Semenyih, Selangor yang disyaki dijadikan stor tempat penyimpanan dan pemindahan minyak diesel bersubsidi pada 21 Mac 2023.  

Menurut Datuk Azman bin Adam, Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, hasil pemeriksaan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 5,000 liter serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

Minyak diesel, pam bermotor, paip penyambung, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain yang ditemui di lokasi serbuan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 13,250.00.

Tambahnya lagi, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenalpasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan.

Berdasarkan statistik penguatkuasaan OPS TIRIS bermula 1 Mac 2023 sehingga 21 Mac 2023, sebanyak 2,582 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh Negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 69 kes telah dihasilkan yang melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM 1.27 juta.

KPDN juga ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran yang disediakan.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat