KUALA LUMPUR, 20 JUN 2017 – Tiada khabar yang paling menggembirakan golongan asnaf Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak dekat sini selain menerima sedikit sumbangan terutama menjelang Aidilfitri ini.
Kegembiraan di wajah 124 keluarga asnaf yang terdiri daripada penduduk miskin, orang kelainan upaya serta anak-anak yatim terpapar apabila masing-masing menerima sumbangan berupa barangan keperluan harian, beras dan duit raya daripada isteri Menteri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datin Seri Norashikin Dato’ Abdul Ghani dalam satu majlis yang diadakan di surau Al-Hijrah di sini pagi ini.
Program Tanggungawab Sosial (CSR) Puspanita Cawangan KPDNKK dan Angkatan Belia Islam (ABIM) ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pengurusan surau berkenaan Badan Pengurusan Bersama (JMB) PPR ini.
PPR Taman Mulia mempunyai dua blok yang mengandungi hampir 150 unit rumah. Ia didiami kira –kira 200 keluarga yang majoritinya orang Melayu.
Datin Seri Norashikin diiringi Jawatankuasa Puspanita KPDNKK yang diketuai Pengerusinya, Datin Sri Dr. Asmah Samat kemudian mengadakan kunjungan dan ziarah ke atas dua pesakit yang terlantar di rumah dan menghulurkan sumbangan serta duit raya.
Oleh: Unit Komunikasi Korporat KPDNKK