TAIPING, 18 JUN 2017 – Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SKHMP) bermula hari ini dan berakhir 30 Jun nanti dengan menyaksikan harga sebanyak 21 barangan dikawal semasa pelaksanaan skim ini.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin dalam sidang medianya berkaitan skim ini di pasaraya Tesco disini berkata , pelaksanaan SKHMP Hari Raya Puasa ini diadakan sebagai tanda keprihatinan kerajaan yang sentiasa mengambil usaha dan langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan terutamanya semasa rakyat menyambut musim perayaan.
Katanya, skim ini dilaksanakan selama 14 hari bermula dari 17 hingga 30 Jun 2017 .Ia berkuatkuasa selama lapan hari sebelum hari perayaan , sehari pada hari perayaan dan lima hari selepas hari perayaan.
Para peniaga pula diingatkan agar sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan terutamanya meletakkan label berwarna merah jambu pada barangan terkawal bagi membezakan barangan tersebut dengan barangan lain.
Mereka juga digalakkan untuk menjual barangan tersebut lebih rendah daripada harga maksimum sekiranya harga yang diperoleh adalah lebih rendah.
KPDNKK melalui pegawai-pegawai penguatkuasanya, RELA, Skuad Pengguna, Friends Of KPDNKK, Ketua kampong dan Penghulu akan memantau lokasi-lokasi tumpuan sama ada dibandar mahupun di kawasan luar bandar bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi skim ini.
Langkah berterusan ini bertujuan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK