PUTRAJAYA, 21 MAC 2017 – Rang Undang-undang Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pembaikan Kenderaan motor akan diperkasa serta dipertingkatkan tahap profesionalismenya.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, dalam banci yang dijalankan pada tahun 2016, terdapat lebih 30,000 bengkel kereta di negara ini. Kebanyakannya tidak mempunyai lesen bagi menyatakan perniagaan yang dilakukan pihak tertentu.
Seramai 250 peserta dari kalangan pemimpin persatuan automobil, pemilik bengkel serta pelajar hadir pada majlis walk about itu.
“Kita mahu mencontohi hospital kerana pegawai perubatan mempunyai kepakaran untuk melakukan kerja-kerja yang dipertanggungjawab. Seperti juga hospital, mekanik juga perlu mempunyai kemahiran melakukan sesuatu kerja penyelenggaraan supaya dapat memberi kepuasan kepada pelanggan,” ujarnya ketika berucap pada sesi Townhall Menteri KPDNKK bersama pihak Industri dan pihak berkepentingan berhubung Rang Undang-undang Perkhidmatan Penyelenggaraan Dan Pembaikan Kenderaan Motor di Dewan Serbaguna KPDNKK di sini hari ini.
Rang Undang-undang ini membantu menaikkan imej dan kredibiliti industri penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan motor. Ia juga bakal mewujudkan pengusaha yang beretika dan bertanggungjawab.
“Kita percaya pengguna akan mempunyai keyakinan terhadap bengkel-bengkel kenderaan yang ada kerana mekanik-mekanik mereka kini terlatih dan mempunyai kemahiran untuk melakukan tugas yang diberi.
“Industri ini akan berkembang dan bergabung membentuk satu rangkaian yang besar sehingga mewujudkan francais di serata tempat. Ini satu fenomena yang baik bagi pemain-pemain industri sehingga memberi keyakinan kepada pihak insurans untuk membuat urusan dengan mereka,” tambahnya.
“Kejayaan atau kegagalan sesuatu itu bergantung kepada bagaimana pematuhan prosedur yang ditetapkan,” tegasnya.
Dato’ Sri Hamzah juga mahukan hasrat yang terbantut sejak 15 tahun dahulu menjadi satu realiti bagi mewujudkan kepentingan bersama di antara pengguna dan pengusaha.