SIMPANG PELANGAI (BENTONG), 12 OGOS 2017 – Rakyat diingatkan agar sentiasa bersyukur dan bersatu padu untuk mengekalkan keamanan negara.
Kesetiaan dan menaruh kepercayaan kepada kerajaan menjadi aset penting untuk mewujudkan sesebuah kerajaan yang stabil dan kuat.
Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab Moin berkata, rakyat perlu bersyukur dan berterima kasih di atas nikmat pembangunan dan perpaduan yang terbentuk sehingga setiap individu dapat hidup dengan aman dan harmoni. Berbanding beberapa negara luar yang pada suatu ketika dahulu maju dan aman, kini telah bertukar menjadi medan perang dan rakyat hidup dalam ketakutan.
Katanya, rakyat mestilah memberi keyakinan dan kesetiaan kepada kerajaan memerintah bagi membolehkan perancangan jangka panjang dapat dirancang bagi faedah rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Pahang pada perasmian Sambutan Hari Koperasi Negara (HKN) Peringkat Negeri Pahang di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Sri Jamil Salleh, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Dato’ Dr. Noor Zari Hamat dan pegawai-pegawai kanan SKM dan KPDNKK.
Dato’ Sri Haji Shahiruddin berkata, sehingga kini terdapat sebanyak 1066 koperasi dengan melibatkan seramai 298,935 ahli.
Katanya, usaha sedang dipertingkatkan untuk menambah jumlah koperasi disamping menggalakkan koperasi supaya mempelbagaikan produk bagi menarik minat ahli-ahli mereka.
Ahmad Sharifuddin Haji Salleh dari Koperasi Pegawai-pegawai Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur Berhad dipilih sebagai Tokoh Koperasi 2017 manakala Koperasi Serbausaha Makmur Berhad muncul pemenang Anugerah Koperasi Terbaik Negeri Pahang.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK