DUNGUN, 21 JULAI 2017 – Terengganu dipilih menjadi negeri pertama untuk pelancaran Friends of KPDNKK yang disempurnakan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin bertempat di Arena Merdeka, Kuala Dungun disini hari ini.
Dengan mencatatkan keahlian tertinggi di antara negeri-negeri lain iaitu seramai 22,196 orang, Terengganu dilihat mempunyai potensi untuk mencatatkan jumlah keahlian yang lebih ramai.
“Saya yakin Terengganu mampu menambah jumlah keahlian FOK ini dalam masa terdekat dan jumlah 22,000 hari ini yang dicatatkan oleh keseluruhan negeri Terengganu akan menjadi angka yang akan dicatatkan oleh daerah Dungun sendiri,” ujar Dato’ Seri Hamzah ketika melancarkan Program Friends Of KPDNKK Peringkat Negeri Terengganu di sini.
Katanya, Terengganu menjadi negeri pertama dan selepas ini penjelajahan akan bermula ke semua negeri bagi memastikan jumlah keahlian FOK ini meningkat bagi memastikan suara dan hak pengguna dilindungi.
“Saya yakin FOK ini akan mendapat sambutan baik dari pengguna kerana mereka (pengguna) mula menyedari akan hak dan peranan mereka untuk memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan untuk meraih keuntungan yang tidak munasabah.
Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh dan pemimpin-pemimpin masyarakat tempatan.
Terdahulu, Dato’ Seri Hamzah diberikan penghormatan untuk menerima obor Sukan Sea KL 2017 yang tiba di daerah Dungun sebelum dipertontonkan kepada umum sebelum peserta larian meneruskan penjelajahan ke daerah-daerah lain di negeri itu.
Untuk rekod, Selangor menjadi negeri kedua teramai keahlian FOK dengan mencatatkan 19,835 diikuti Kuala Lumpur dengan 16,808 orang.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK