KEPALA BATAS, 28 OKTOBER 2017 – Friends Of KPDNKK (FOK) bakal menjadi gelombang kuasa pengguna yang kuat dan berpengaruh bagi menyuarakan hak pengguna di negara ini.
Dengan keahlian yang meliputi seluruh negara dilihat mampu mengetengahkan isu-isu kepenggunaan yang dihadapi pengguna.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, usaha untuk menarik penyertaan orang ramai sebagai FOK dilihat sebagai satu usaha untuk memperkasa suara pengguna bagi mempertahankan hak dan kepentingan pengguna selain menjadi mata dan telinga kepada kementerian ini.
Beliau berkata demikian semasa majlis Pelancaran FOK Peringkat Negeri Pulau Pinang di Maktab Rendah Sains MARA Kepala Batas di sini, hari ini. Lebih 1,000 ahli FOK seluruh Pulau Pinang hadir di majlis ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Luar, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh, Pengetua MRSM Kepala Batas, Haji Khairul Anuar Haji Shafie dan Ketua Wanita UMNO Pulau Pinang, Datuk Norliza Abd. Rahim.
Terdahulu, Dato’ Seri Hamzah melancarkan FOK Peringkat Negeri Perlis di Institut Pendidikan Perguruan Kangar, Kangar. Majlis yang dihadiri lebih 800 ahli FOK Negeri Perlis itu turut dimeriahkan dengan pameran dan jualan murah beras dan gula.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK