IPOH, 24 NOVEMBER 2017 – Sejumlah 66 syarikat Francais tempatan telah berjaya mengembangkan perniagaan mereka di 66 buah negara dengan kejayaan mewujudkan sebanyak 4217 outlet di seluruh dunia.
Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK), Dato’ Henry Sum Agong berkata, jumlah ini secara jelas menampakkan kejayaan jenama francais tempatan secara keseluruhan dan ia dapat di terima baik di peringkat global.
Katanya, penyertaan syarikat francais tempatan akan dapat dipertingkatkan melalui pelbagai penyertaan misi promosi francais Malaysia ke luar negara dan juga melalui expo-expo di dalam negara yang dianjurkan oleh pelbagai agensi.
“Mereka harus inovatif dan kreatif dalam menghasilkan pelbagai produk dan perkhidmatan yang boleh dipasarkan sehingga ke peringkat global,” ujarnya ketika merasmikan Hari Francais 2017 di Pusat Konvensyen Aman Jaya (AJCC) di sini, hari ini.
Selain itu, syarikat Francais sedia ada harus sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan produk mereka supaya dapat bertahan lama dalam industri ini.
Sehingga kini, sejumlah 848 syarikat francais yang terdiri daripada pelbagai sektor telah didaftarkan di bawah pendaftaran francais KPDNKK.
Industri francais telah memberikan sumbangan yang begitu besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara di mana pada 2016, sebanyak RM 26.6 billion atau 3.4 peratus disumbangan kepada pendapatan negara melalui industri francais. Jumlah ini sangat besar dan akan dipertingkatkan sebanyak RM 27 billion pada tahun berikutnya.
Pada majlis ini sebanyak 11 francaisor baru berdaftar di bawah KPDNKK diraikan dalam upacara penyampaian lesen atau sijil francais mereka.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK