Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

KEKALKAN MOMENTUM SALING MEMBANTU

PUTRAJAYA, 31 OKTOBER 2017 – Kejayaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengurus persepsi serta isu-isu yang ditujukan kepada kementerian ini terletak pada semangat kerjasama berpasukan serta sokongan dari agensi-agensi dalam kementerian ini.

Menterinya, Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata, kejayaan ini bukan sahaja dicapai oleh satu-satu bahagian atau agensi malah turut didokong dan membabitkan kerjasama banyak pihak.

Katanya, kita berbeza dari orang lain. Pendekatan dan cara kita yang membezakan kita dengan orang lain. Inilah kekuatan dan kelebihan kita yang menentukan kejayaan kita.

Menurutnya, sebagai warga KPDNKK atau agensi, kita bukan sahaja perlu menghayati dan memahami tugas dan peranan kita, malah kita mesti menyelami fungsi bahagian-bahagian serta agensi lain bagi memastikan kita benar-benar jelas dan faham akan tanggungjawab yang dilaksanakan bersama.

“Sokongan serta tahu memilih pemimpin amat penting. Ia akan memastikan KPDNKK terus dapat memberi sumbangan kepada kepentingan rakyat,” ujarnya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan   Bulan Oktober di Dewan Serbaguna KPDNKK di sini, hari ini.

Katanya, pemimpin akan menentukan legasi yang akan diteruskan selepas kita meninggalkan jawatan dan memastikan semua usaha yang dilakukan itu berjaya.

“Persepsi terhadap KPDNKK pada suatu ketika mulai menurun kerana  salah tanggapan dan persepsi yang tidak tepat mengenai kementerian ini. Kita mampu bangkit dan kini dilihat sebagai sebuah kementerian yang dibanggakan rakyat,” tegasnya.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNKK, Dato’ Henry Sum Agong, Ketua Setiausaha KPDNKK, Dato’ Sri Jamil Salleh, Timbalannya, Dato’ Razali Othman serta Ketua-ketua agensi dan Pengarah Jabatan dalam KPDNKK.

Perhimpunan kali ini dianjurkan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) secara penggiliran selepas Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan Bank Rakyat menyempurnakan sebelum ini.

Dato’ Seri Hamzah berkata Bajet 2018 memperlihatkan kerajaan memperuntukkan sejumlah 1.5 billlion ringgit bagi melaksanakan agenda dan memperkasakan usahawan masa depan negara.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNKK


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive