PUTRAJAYA, 6 SEPTEMBER 2018- Warga kerja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) disaran agar menghayati serta memahami penerangan mengenai pelaksanaan Cukai Jualan Dan Perkhidmatan (SST) kerana ia membantu kita untuk menerangkan kepada pengguna lain.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunan dan Pengurusan) KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz ketika merasmikan Taklimat Khas SST di Dewan Serbaguna kementerian ini hari ini berkata, kita perlu membantu kerajaan bagi memastikan pengguna –pengguna mendapat maklumat mengenai SST itu dengan jelas dan bukannya bertindak sebaliknya dengan membantu menyebar luas maklumat yang salah kerana kita sendiri tidak jelas atau kurang faham dengan pelaksanaannya.
“Gunakan kesempatan yang ada ini dengan bertanyakan mana-mana perkara yang tidak faham atau kurang jelas supaya kita sama-sama dapat penjelasan atau merungkaikan persoalan yang menjadi isu dalam pelaksanaan SST ini,” ujarnya.
Taklimat disampaikan Kastam DiRaja Malaysia mengenai pelaksanaan SST manakala Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP mengenai peranan dan tanggungjawab dalam urusan penguatkuasaan.
Datuk Muez berharap warga kementerian perlu mempunyai maklumat yang tepat berkaitan pelaksanaan SST kerana kementerian ini sering menjadi sumber rujukan sekiranya isu-isu berkaitan SST ini timbul. Melalui cara ini, kita dapat membantu pengguna lain untuk kefahaman atau penjelasan terhadap isu-isu yang berbangkit.
Taklimat khas ini dihadiri lebih 250 pegawai daripada gred 41 dan ke atas sebagai langkah advokasi dalaman. Ia dianjurkan Bahagian Kepenggunaan KPDNHEP.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP