KUALA LUMPUR, 3 SEPTEMBER 2019 – Inisiatif Kedai Ekonomi Pengguna ( i-KeeP) merupakan antara inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membantu masyarakat yang merasai kesan peningkatan kos sara hidup terutama sekali di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.
Dengan mengambil kira sasaran ini, pihak KPDNHEP dengan kerjasama Perbadanan Nasional Berhad (PNS) telah memperkenalkan iKeeP melalui 10 buah syarikat peruncitan yang berpengalaman dengan menawarkan harga yang berpatutan untuk barangan keperluan harian terpilih. Melalui 10 syarikat peruncitan ini, sejumlah 368 premis di seluruh negara telah mengambil bahagian. Dua (2) daripada syarikat peruncitan berkenaan ialah Big Supermart dan SKOMK.
Menurut Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beberapa lagi syarikat peruncitan yang telah menyatakan minat untuk menyertai i-KeeP termasuk di Sabah dan Sarawak. Premis runcit kebanyakan syarikat peruncitan tersebut adalah lokasi yang kerap dikunjungi oleh para pengguna.
“Kerjasama dengan syarikat dan rangkaian premis runcit ini adalah sebagai strategi Kerajaan untuk memastikan faedah inisiatif ini dapat dirasai oleh semua peringkat pengguna terutamanya kumpulan yang berpendapatan rendah dan sederhana,” ujarnya ketika merasmikan Penutup Karnival Jualan i- KeeP di padang PPR Kampung Kerinchi di sini, hari ini.
Beberapa syarikat koperasi yang melihat pengembangan perniagaan mereka menerusi i-KeeP sejajar dengan matlamat untuk menawarkan barangan keperluan harian kepada masyarakat terutama di luar bandar turut berminat untuk menyertainya.
Pengenalan i-KeeP kepada masyarakat adalah sebagai satu usaha Kerajaan untuk memastikan pengguna dapat menikmati penjimatan yang lebih baik dengan berbelanja barangan keperluan harian di premis-premis yang mengambil bahagian.
Tumpuan utama i-KeeP ketika ini adalah terhadap penawaran barangan keperluan asas yang terdiri daripada gula, minyak masak, tepung gandum, beras di samping barangan keperluan harian lain yang berjenama dengan mengekalkan pembungkusan sedia ada barangan tersebut.
Ujarnya, i-KeeP telah memperkenalkan private brand sendiri melalui jenama “Lestari”. Sebagai permulaan, dua jenis barangan iaitu minyak masak dan tepung gandum bervitamin akan mula berada dalam pasaran tidak lama lagi. Pengenalan barangan private brand ini adalah sebagai satu langkah Kementerian untuk memberikan pilihan yang lebih menjimatkan kepada pengguna.
Pengguna boleh menikmati penjimatan sehingga 30% daripada harga runcit yang disyorkan (Recommended Retail Price-RRP) bagi sepuluh kategori barangan utama antaranya ialah sos/kicap, minyak masak, susu/krimer, barangan penjagaan diri, barangan keperluan bayi, makanan dalam tin dan minuman bancuhan. Ini sudah pasti akan memberikan lebih pilihan kepada pengguna untuk memilih premis-premis di mana mereka boleh mendapat penjimatan ketika berbelanja kalaupun tidak terlalu murah tetapi masih dapat membuat sedikit simpanan bagi kegunaan – kegunaan lain.
Karnival empat hari hari yang bermula 30 Ogos lalu yang julung kalinya diadakan ini disertai oleh kira – kira 27 peserta terdiri daripada Rakan Strategik i-KeeP iaitu Pasaraya Big Supermart dan Syarikat Koperasi Orang Melayu Kerajaan Perak (SKOMK), pengusaha-pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS), peserta-peserta di bawah Program Business In Transformation (BIT), para pengusaha , peniaga dan penjaja-penjaja kecil.
Pelbagai aktiviti diadakan bagi menarik penyertaan masyarakat setempat di dalam karnival seperti sukaneka, pertandingan karaoke, sukan tarik tali, demontrasi memasak dan beberapa aktiviti lain. Karnival ini akan menjelajah di beberapa lokasi lain di Semenanjung mulai bulan ini bagi memberi peluang rakyat luar bandar menikmati harga yang ditawarkan kepada mereka.
Penyertaan dalam karnival ini juga datangnya daripada syarikat pengeluar kenderaan nasional dan antarabangsa iaitu Proton, Perodua dan KIA serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih iaitu Celcom.
Hadir sama, Timbalan Menteri KPDNHEP, Tuan Chong Chieng Jen, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Muez Abd Aziz dan Pengerusi PNS, Datuk Dzulkifli Fadzillah.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP