PUTRAJAYA, 16 MEI 2019 – Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah menetapkan 30 hari bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan ( SHMMP) kali ini bermula 21 Mei nanti.
SHMMP kali ini membabitkan Hari Raya Puasa, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang kebetulan berlaku dalam tempoh yang sama sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan menjelang perayaan-perayaan ini.
Tarikh kuat kuasa skim ini bagi Hari raya Puasa bermula dari 21 Mei hingga 19 Jun 2019 iaitu selama 30 hari. Bagi Perayaan Pesta Kaamatan yang disambut di Sabah dan Wilayah Persekutuan bermula 23 Mei hingga 5 Jun manakala SHMMP bagi Hari Gawai bermula dari 25 Mei hingga 7 Jun iaitu selama 14 hari.
Ketika mengumumkan SHMMP ini, Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 27 barangan dimasukkan dalam skim ini bagi sambutan Hari Raya Puasa berbanding 21 barangan sebelum ini ,14 barangan bagi Pesta Kaamatan dan Hari gawai berbanding 13 sebelum ini.
Terdapat perubahan barangan berbanding pelaksanaan pada tahun 2018 seperti ikan segar beku kembung, ikan segar beku selar, ikan segar beku selayang, kacang panjang, kacang tanah dan cili kering. Manakala bagi kedua-dua perayaan bagi sabah dan Sarawak dimasukkan cili kering sebagai tambahan.
Pengumuman kali ini diadakan bersama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Sallehudin Ayob.Hadir sama, Timbalan menteri KPDNHEP, Tuan Chong Chien Jen dan kedua-dua Ketua Setiausaha dari kedua-dua kementerian.
KPDNHEP melalui pegawai-pegawai penguatkuasa nya akan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit 1993).
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP