Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

MAJLIS SERAH TUGAS DAN PERARAKAN PALUAN BERUNDUR

PUTRAJAYA, 16 DISEMBER 2020 – Hari ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengadakan Majlis Serah Tugas dan Perbarisan Kawalan Kehormatan Pengarah Penguat Kuasa sempena persaraan Dato’ Haji Iskandar Halim Sulaiman.

Majlis ini diadakan sebagai  tanda penghargaan dan pengiktirafan serta nukilan terima kasih dari Kementerian serta Bahagian Penguat Kuasa kepada Pengarah Penguat Kuasa, Dato’ Iskandar Halim   kerana banyak menabur budi dan bakti kepada negara khususnya berkaitan penguatkuasaan.

Majlis bermula dengan upacara serah tugas Pengarah Penguatkuasa yang disaksikan Menteri KPDNHEP dan Ketua Setiausaha Kementerian ini.

Dato’ Iskandar yang berkhidmat sebagai penjawat awam hampir 40 tahun, telah menempuhi pelbagai peristiwa pahit-manis, suka duka dan cabaran getir dalam melaksanakan tugasan penguatkuasaan di negara ini. Bermula sebagai Merinyu Penguat kuasa di Kementerian Perdagangan Dan Perindustrian Malaysia, Bahagian Penguat Kuasa, Negeri Sabah pada tahun 1981, beliau seterusnya bertukar tempat bertugas sebagai Penolong Pegawai Penguat Kuasa N6 di Kuantan pada tahun 1985.

Kemudian, pada tahun 1992 beliau dinaikkan pangkat ke jawatan Penolong Pegawai Penguat Kuasa Gred N5 di Cawangan Kuantan dan dilantik sebagai Ketua Cawangan Temerloh pada tahun 1994.

Berdasarkan kepada kredibiliti, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh beliau, Dato’ Iskandar telah dilantik sebagai Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Pembangunan) pada tahun 2006 dengan Gred N52 (KUP) N54 dan disahkan ke jawatan Pegawai Penguat Kuas Gred N54 pada tahun 2007. Beliau seterusnya dinaikkan pangkat ke Gred Utama C sebagai Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Cawangan Operasi Khas) dan kemudian dilantik sebagai Pengarah Penguat Kuasa pada tahun 2019 dengan Gred Utama B.

Sepanjang perkhidmatan, beliau telah banyak memberikan sumbangan dalam mengurus dan mengemudi Bahagian Penguat Kuasa. Beliau telah memodenkan perkhidmatan penyampaian bagi aktiviti penguatkuasaan dengan memanfaatkan teknologi Informasi secara intensif serta komprehensif melalui penggunaan Integrated Enforcement Management System (IEMS), Pelaksanaan Sistem Pengurusan Ekshibit (E-MAS), perlaksanaan pembayaran label cakera optik atas talian bagi SISCO dan Pembangunan Aplikasi mySales Tracker.

Beliau juga telah menambah baik keperluan logistik penguatkuasaan, memperkasa dan memperluas skop AMLA dalam perundangan yang dikuatkuasakan oleh Kementerian, memantapkan penyiasatan kes dan pengendalian kertas siasatan yang lebih efisyen, menyusun semula struktur organisasi bagi memenuhi keperluan tugasan semasa, memantapkan disiplin pegawai-pegawai penguat kuasa serta perubahan minda ke arah kecemerlangan dan produktiviti melalui slogan pantas, cekap dan efektif.

Sekalung tahniah diucapkan kepada Dato’ Iskandar yang berjaya mengharungi mtempoh 40 tahun dengan jayanya dan mendoakan semoga ceria selalu.

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive