PUTRAJAYA, 18 DSEMBER 2020 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) telah mengenal pasti sebanyak 19 jenis barangan bagi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas (SHMMP) Krismas 2020. Antara kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, sayuran, daging kambing dan daging babi.
KPNDHEP akan melaksanakan SHMMP 2020 sebagai langkah kawalan harga barangan keperluan perajaan menjelang Krismas yang akan disambut pada 25 Disember 2020 diseluruh negara.
Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP KRISMAS 2020 adalah selama 10 hari iaitu selama tiga hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan enam hari selepas hari perayaan dari 22 Disember hingga 31 Disember 2020. Skim ini akan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Ketika mengumumkan SHMMP ini, Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, SHMMP Krismas 2020 secara tidak langsung dapat menyekat kenaikan harga yang tidak munasabah terhadap barangan keperluan yang menjadi keutamaan dan banyak digunakan semasa perayaan ini semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Katanya, walaupun perayaan Krismas 2020 disambut secara sederhana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan Krismas tetap ada dan dijangka akan meningkat berbanding semasa bukan hari perayaan.
“Harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang ditentukan adalah bersesuaian dengan trend harga semasa dan semasa menjelangnya hari perayaan. Selain itu, terdapat juga harga yang ditentukan lebih rendah dan kekal sepertimana pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2020 yang lalu,” ujarnya. Hadir sama, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam Hj Ahmad dan Pengarah Penguat Kuasa, Haji Azman Adam.
Menurutnya lagi, penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak.
“ Sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan-alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan terlalu tinggi, Kementerian boleh bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 yang mula kuatkuasa pada 6 Jun 2018,” tegasnya serta mengingatkan bahawa Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP akan berada di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasaraya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.
“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti mengambil keuntungan yang berlebihan oleh peniaga-peniaga yang tidak beretika semasa musim perayaan,” katanya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP