PUTRAJAYA, 27 Oktober 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021. Ini merupakan salah satu langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan menjelang perayaan Deepavali yang akan disambut pada 4 November 2021 diseluruh negara.
SHMMP Deepavali 2021 ini dilaksanakan atas justifikasi permintaan orang ramai terhadap barang-barang tertentu untuk menyambut perayaan tersebut. Walaupun negara kita masih dilanda penularan wabak COVID-19, tiada jaminan bahawa peningkatan haraga barang berlaku walaupun bekalan barangan keperluan semasa mencukupi
Oleh itu, skim ini dibuat dengan beberapa penyesuaian tempoh masa dan barangan untuk memberi ruang kepada peniaga bagi memulihkan perniagaan setelah melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tanpa menjejaskan kepentingan pengguna ataupun peniaga.
Skim ini juga akan dilaksanakan selama 7 hari bermula 1 November 2021 sehingga 7 November 2021. Tempoh ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa dan ianya adil kepada pengguna dan peniaga. Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga juga tidak tertekan dengan tmpoh pelaksanaan yang terlalu lama.
Pihak Kementerian juga telah mengenal pasti 11 jenis barangan untuk ditentukan bagi SHMMP Musim Deepavali 2021 ini. Barangan tersebut merupakan barangan utama yang diperlukan semasa sambutan perayaan Deepavali nanti dan kesemua barangan ini mendapat permintaan yang tinggi oleh masyarakat yang menyambutnya.
Selain itu, harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ditentukan untuk barangan berkenaan bagi 91 daerah di Semenanjung Malaysia, 27 daerah di Sabah dan 1 daerah di Wilayah Persekutuan Labuan. Manakala bagi Negeri Sarawak pelaksanaan Skim hanya melibatkan 4 daerah sahaja berbanding 32 daerah sebelum ini iaitu di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu iaitu kawasan yang mempunyai majoriti masyarakat India meraikan perayaan ini.
Senarai harga barangan harga terkawal bagi SKIM HARGA MAKSIMUM MUSIM PERAYAAN DEEPAVALI 2021 adalah seperti berikut:
(1) Ayam hidup
(2) Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)
(3) Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal)
(4) Daging kambing biri-biri import bertulang
(5) Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji)
(6) Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji)
(7) Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji)
(8) Cili merah
(9) Tomato
(10) Kelapa biji
(*Harga maksimum di peringkat borong sahaja)
(11) Kelapa parut
(*Harga maksimum di peringkat runcit sahaja)
Adalah diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti seperti berikut:
- Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum:
- Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000; dan
- Syarikat; boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000;
- kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal:
- individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000; dan
- syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Akhir sekali peniaga diingatkan untuk mematuhi undang-undang yang ditetapkan dan jika pengguna mendapati peniaga tidak mematuhi undang-undang berkenaaan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan melaui sluran-saluran rasmi Kementerian.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat