PUTRAJAYA, 11 Oktober 2021 – Susulan pengumuman Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober 2021, mengenai kebenaran merentas negeri bagi Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik pengumuman ini.
Kebenaran ini dilihat sebagai satu lagi langkah positif Kerajaan ke arah merancakkan pemulihan ekonomi negara terutama ekonomi domestik dan khususnya sektor pengedaran dan peruncitan. Sektor perdagangan pengedaran merupakan antara aktiviti ekonomi utama dalam negara. Sebagai makluman, sektor pengedaran dan peruncitan telah dibuka sepenuhnya, namun masih perlu mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan Covid-19.
YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP mengumumkan bahawa semua perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di bawah seliaan KPDNHEP tidak lagi memerlukan surat kebenaran beroperasi melalui Sistem Covid-19 Information Management System (CIMS). Walau bagaimanapun, setiap sektor masih lagi tertakluk kepada SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa, terutamanya bagi negeri-negeri yang masih di dalam PPN Fasa 2 dan 3.
Beliau dalam kenyataan medianya, turut mengingatkan semua ahli keluarga Malaysia, pengguna dan peniaga untuk menjadi pengguna bijak dan berhemat dalam berbelanja dengan melaksanakan strategi pembelian seperti merancang pembelian, lokasi dan waktu pembelian bagi memaksimakan penjimatan. Utamakan kualiti dan sentiasa membuat perbandingan harga dan membeli dari premis yang menawarkan harga yang berpatutan.
Selain itu, Keluarga Malaysia juga diingatkan agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan dan sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Ini penting dalam usaha membantu negara dalam pembukaan semula ekonomi serta persediaan menjalani kehidupan fasa endemik dengan selamat atau Reopening Safely.
Tambahnya lagi, Penguat Kuasa KPDNHEP akan meneruskan pemeriksaan dan penguatkuasaan pematuhan SOP menerusi Ops Samar di mana pegawai penguatkuasa akan berpakaian biasa (tidak berpakaian seragam) bagi memastikan premis-premis perniagaan dan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.