Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

SEMANGAT KELUARGA MALAYSIA BERJAYA STABILKAN HARGA PURATA AYAM DAN TELUR DI PASARAN

PUTRAJAYA, 8 OKTOBER 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil pendekatan dan semangat Keluarga Malaysia dalam menstabilkan harga ayam dan telur di pasaran. Ini merupakan keprihatinan Kerajaan terhadap bekalan dan harga sumber protin utama untuk semua peringkat terutama golongan B40 dan M40.

Seperti sedia maklum, harga jagung dan protin soya yang menjadi makanan kepada ayam pedaging dan telur di samping vitamin, minerals dan ubat-ubatan telah memberi kesan kepada kos operasi di semua peringkat termasuk integrator makanan ternakan, penternak dan pengeluar, pemborong, peniaga runcit dan di hujung rantaian tersebut adalah pengguna yang amat terasa dengan kenaikan harga runcit di pasaran.

Harga Jagung dan Protin Soya yang dimport sepenuhnya telah meningkat sebanyak 72% dari USD236 per tan metrik pada tahun 2020 ke USD406 per metrik tan sejak pertengahan tahun 2021. Menyedari trend kenaikan tersebut, KPDNHEP  telah mengadakan libat-urus dengan semua pemain industri di semua peringkat rantaian sejak itu.

Melalui semangat Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri KPDNHEP telah mendapat kerjasama dari semua ‘ahli keluarga’ industri ayam dan telur untuk melihat semula kos dan keuntungan di setiap peringkat rantaian di mana semua pemain industri bersetuju kepada margin yang munasabah dalam menentukan harga berpatutan di peringkat runcit buat masa ini sehingga harga import makanan ternakan ayam kembali stabil.

Menurut data dan trend harga ayam yang dikeluarkan oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP pada September – Oktober 2021 mendapati harga purata nasional ayam bersih standard sekitar RM8.70 sekilogram berbanding RM10.00 sekilogram dan ke atas pada awal September. Hasil pemeriksaan KPDNHEP pada 4 Oktober 2021 pula,  hanya 2 premis daripada 560 premis yang diperiksa menjual ayam lebih daripada RM9.50 sekilogram.

YB Dato Sri Menteri KPDNHEP bersama Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP dan Ketua Penguatkuasa KPDNHEP telah turun padang ke sebuah integrator pengeluar ayam dan berbincang langkah-langkah seterusnya untuk  mengurangkan kesan kenaikan harga import makanan ternakan terhadap harga runcit ayam dan telur di pasaran.

Seramai 1,000 Pegawai Pemantau Harga dan 2,200 Pegawai Penguat Kuasa dalam membuat pemantauan dan pemeriksaan di peringkat runcit, pemborong dan pengeluar pada setiap hari bagi memastikan bekalan dan harga barangan keperluan sentiasa mencukupi dan dijual dengan harga berpatutan yang tidak membebankan pengguna.

KPDNHEP yakin kerjasama dalam semangat Keluarga Malaysia akan mewujudkan situasi seimbang dan terkawal di pelbagai peringkat rantaian bekalan dan runcit yang semestinya akan diteruskan di masa hadapan.

KPDNHEP menasihati pengguna agar bijak merancang perbelanjaan serta mencadangkan pengguna menggunakan aplikasi Price Catcher bagi membantu membuat pembelian yang bijak. Sebarang aduan berkaitan harga barang atau kurang bekalan juga boleh dibuat melalui saluran yang disediakan oleh Kementerian.


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive