PUTRAJAYA, 7 OKTOBER 2021 –YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah menyempurnakan perasmian Symposium On Cost Of Living 2021 (SCOL 20212021) secara dalam talian.
Penganjuran SCOL 2021 yang julung kali ini adalah bagi mengumpulkan semua pemegang taruh, penggubal dasar, pelaksana, ahli akademik serta aktivis sosial daripada agensi kerajaan pusat, kerajaan negeri, pihak korporat, institusi pendidikan tinggi, persatuan perniagaan serta pertubuhan sosial. SCOL 2021 berlangsung selama dua (2) hari bermula pada 7 Oktober 2021 melibatkan 106 buah agensi kerajaan pusat dan negeri, pihak korporat, persatuan perniagaan serta pertubuhan sosial. Ia diadakan sepenuhnya secara atas talian melalui aplikasi Zoom dan Facebook Live Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurut Dato Sri Alexander, Simposium ini merupakan salah satu usaha kementerian bagi mendapat input, maklum balas serta pandangan daripada semua pihak berkaitan dengan cabaran baharu dalam menangani isu kos sara hidup. SCOL 2021 juga akan membincangkan pelbagai idea baharu dalam memperkasakan lagi usaha menangani kos sara hidup di Malaysia.
Didalam ucapan beliau, antara perkara yang disentuh adalah kesan yang ketara terhadap ekonomi dan sosial kepada rakyat terutamanya bagi golongan M40 dan B40 disebabkan oleh pandemik COVID-19. Peralihan struktur sosial dan ekonomi ini akan memberi kesan kepada kerajaan terutamanya dalam pemberian bantuan.
Sehubungan itu, program-program bantuan kepada rakyat perlu disegerakan. Kaedah one size fits all kini adalah kurang sesuai dan tidak relevan bagi menangani keperluan rakyat yang pelbagai. Ini adalah kerana ada rakyat yang terkesan memerlukan bantuan bakul makanan dan ada pula yang memerlukan bantuan kewangan bagi menampung bayaran komitmen bulanan bagi mereka meneruskan kehidupan dan mencari rezeki.
Selain itu, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi juga menyentuh akan keperluan peranan dan tanggungjawab semua pihak dalam menangani isu-isu berkaitan kos sara hidup. Peranan dan tanggungjawab ini perlu dilhat dalam dua (2) perspektif utama iaitu:
- pemain korporat harus mengutamakan penglibatan atau peranan yang lebih bertanggungjawab dalam mengawal dan mengurus industri masing-masing. Pengurusan industri yang lebih sihat akan menghasilkan keseimbangan di antara keperluan untuk memperolehi keuntungan dengan tanggungjawab untuk memberikan yang terbaik kepada ahli Keluarga Malaysia yang lain terutamanya rakyat samada dalam konteks sebagai pengguna mahupun pekerja. Sekiranya persekitaran ekonomi yang sihat dapat dicapai, KPDNHEP, sebagai contoh, tidak lagi perlu untuk melaksanakan kawalan harga sepanjang masa yang mana ia merugikan banyak pihak; dan
- rakyat terutamanya penerima bantuan sedaya upaya mengubah mentaliti daripada penerima kepada pemberi. Pendidikan perlu diterapkan supaya rakyat memahami keperluan untuk hanya menerima bantuan dan pada tempoh yang diperlukan sahaja.