PUTRAJAYA, 7 Oktober 2021 – Susulan laporan di akhabar dan media sosial berkaitan peningkatan permintaan ke atas ayam dan telur ayam di pasaran, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil maklum mengenai isu tersebut.
Seperti sedia maklum, ayam dan telur ayam merupakan antara makanan asas utama sebagai sumber protein yang menjadi pilihan rakyat Malaysia. Susulan daripada pewartaan ayam dan telur ayam sebagai barang kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, KPDNHEP berperanan memastikan bekalan ayam dan telur ayam sentiasa stabil, mencukupi dan mudah diperolehi oleh pengguna pada harga yang munasabah di pasaran.
Beberapa tindakan proaktif telah dilaksanakan oleh KPDNHEP, bagi memastikan bekalan mencukupi. Antaranya membuat pemantauan keberadaan bekalan ayam dan telur ayam secara komprehensif, menjalinkan kerjasama dengan agensi lain yang berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta menjalankan pemeriksaan secara berkala di peringkat penternak, pemborong dan peruncit dari segi pengeluaran dan pengedaran.
Penguat Kuasa KPDNHEP juga sentiasa membuat pemantauan bekalan secara berkala ke atas 20 syarikat pengeluar ayam yang mewakili 1,028 ladang bermula 22 September 2020 dan pemantauan bekalan ke atas beberapa syarikat pengeluar telur ayam bagi melihat kedudukan bekalan ayam dan telur ayam di seluruh negara.
Dianggarkan pengeluaran bekalan bagi ayam oleh pihak penternak di pasaran pada bulan Oktober 2021 adalah sebanyak 64.9 juta ekor sebulan manakala anggaran pengeluaran bekalan bagi telur ayam adalah melebihi 1 bilion biji sebulan. Berdasarkan data tersebut, pengeluaran ayam dan telur ayam adalah mencukupi bagi menampung keperluan dan permintaan pengguna.
Sehubungan itu, KPDNHEP ingin mengingatkan kepada peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengeluaran dan pengedaran ayam dan telur ayam sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna. Mana-mana individu atau syarikat yang melanggar undang-undang berkaitannya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011. Sekiranya disabitkan kesalahan, peniaga boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000.000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.Pengguna yang mempunyai maklumat berhubung salahlaku peniaga boleh menyalurkan aduan kepada pihak Kementerian melalui saluran-saluran rasmi KPDNHEP.