PUTRAJAYA, 29 September 2021 – Seorang pengarah syarikat dipenjara atas pertuduhan di bawah Seksyen 117 Akta Perlindungan Pengguna 1999 – Ketidakpatuhan award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) pada 24 September 2021. Pendakwaan telah dilakukan oleh Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), melibatkan tiga (3) kes saman bagi kesalahan di bawah Subseksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 ke atas Orang Kena Saman (OKS), seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pengarah syarikat Want To Go Holiday Sdn. Bhd.
Menurut Tuan Azman bin Adam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Mengikut fakta kes, tertuduh gagal mematuhi award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar kepada tiga (3) pihak yang menuntut wang berjumlah masing-masing RM4,999.00, RM6,228.00 dan RM10,879.00.
Tertuduh didakwa di bawah Subseksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan yang berterusan, boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit bagi setiap hari atau sebahagian hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Tambahnya lagi, Setelah selesai perbicaraan OKS gagal membuktikan keraguan yang munasabah di peringkat pembelaan, Majistret Shah Wira Abdul Halim telah menjatuhkan hukuman denda lapan ribu ringgit, jika gagal bayar denda dipenjara satu tahun bagi setiap pertuduhan. OKS telah gagal membayar denda untuk ketiga-tiga pertuduhan dan dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selama 3 tahun.
Akhir sekali, Tuan Azman menegaskan bahawa KPDNHEP memandang serius isu ketidakpatuhan Award TTPM oleh orang ramai dan berharap hukuman ini menjadi peringatan kepada semua pihak untuk menghormati hak-hak pengguna dalam melaksanakan perniagaan.