Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

TREND HARGA AYAM YANG SEMAKIN MENURUN DAN USAHA YANG DIAMBIL KERAJAAN UNTUK MENSTABILKAN HARGA AYAM

Putrajaya, 22 September 2021 – Susulan isu kenaikan harga ayam standard yang berlaku sejak awal September yang lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) telah memantau rapi isu ini.

Berdasarkan data oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP, pada 13 September 2021, sebanyak 98 premis runcit (14.58%) yang diperiksa telah menjual ayam standard pada harga melebihi RM10.00/kilogram. KPDNHEP telah melaksanakan pendekatan baharu dengan mengadakan sesi libat urus secara terus dengan peniaga di lokaliti yang mengalami kenaikan harga ayam. 

Menurut kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh KPDNHEP bersama MAFI, usaha tersebut telah membuahkan hasil apabila data telah menunjukan trend penurunan harga berbanding awal September lalu. Trend ini juga dijangka akan terus menunjukkan penurunan dan juga ianya dapat menstabilkan harga ayam di pasaran.

Walaupun harga ayam kembali terkawal, kedua-dua Kementerian ini bersetuju usaha untuk menstabilkan harga ayam secara libat urus dengan semua pihak yang berkepentingan ini diteruskan.

KPDNHEP dan MAFI juga telah mengadakan mesyuarat bersama bagi meneliti beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan dalam menangani isu harga ayam ini. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh Menteri KPDNHEP, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Timbalan Menteri, Dato’ Rosol Wahid, Menteri MAFI, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, dan Timbalan Menteri I, Datuk Seri Haji Ahmad Hamzah serta pegawai-pegawai tertinggi kedua-dua Kementerian.

Mesyuarat dimaklumkan, melalui sesi libat urus yang telah dilakukan oleh KPDNHEP dan MAFI bersama pihak industri di seluruh Negara, pihak industri bersetuju untuk menurunkan lagi harga ayam di peringkat pengeluar/ladang supaya harga di peringkat borong dan runcit juga dapat distabilkan.

Hasil perbincangan tersebut, kedua-dua Kementerian bersetuju untuk meneliti beberapa cadangan daripada pihak industri berkaitan usaha untuk menstabilkan harga ayam, antaranya pemberian kemudahan pinjaman mudah (soft-loan) bagi membantu industri mengekalkan jumlah pengeluaran ayam yang mencukupi dan menangani isu peningkatan kos pengeluaran ayam berikutan kenaikan harga komponen makanan ayam yang diimport.

Selain itu, Kerajaan turut mempertimbangkan kawalan harga di semua peringkat disokong dengan pemberian subsidi kepada rantaian tertentu sebagai salah satu usaha menangani isu kenaikan harga ayam ini.

Akhir sekali, KPDNHEP akan meneruskan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 dan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut terutama di dalam situasi semasa ketika ini, tindakan tegas akan diambil.


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive