PUTRAJAYA, 26 September 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengucapkan tahniah susulan kejayaan yang diperoleh oleh adik Maryam Muzamir, 11 tahun, yang telah merangkul tiga pingat emas di pertandingan The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada. Inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan YAM 2.0 itu berjaya mengenepikan 600 peserta lain dari 70 negara sekaligus menjadikan adik Maryam sebagai pemenang termuda di pertandingan itu.
KPDNHEP amat berbangga dengan pencapaian adik Maryam. Menurut YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP, menyatakan pihak Kementerian berhasrat untuk menawarkan bantuan untuk mempatenkan hasil inovasi beliau tersebut melalui agensi di bawah KPDNHEP, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pihak MyIPO telah menghubungi dengan bapa pelajar terbabit pada minggu lepas untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inovasi yang dihasilkan anaknya dan akan membantu untuk proses pemfailan paten bagi inovasi yang dihasilkan Maryam bagi memastikan inovasi beliau dilindungi.
Tambah Menterinya lagi, usaha mempatenkan hasil inovasi seperti ini bukan sahaja memberikan pengiktirafan hak milik kreativiti kepada pencipta, malah melindungi ciptaan atau inovasi seseorang daripada diciplak. Selain itu, ini juga memberi peluang kepada pencipta untuk meneroka potensi yang lebih luas seperti mengkomersialkan hasil ciptaan ke peringkat lebih tinggi.
Pihak KPDNHEP menyeru pencipta-pencipta yang telah menghasilkan ciptaan dan inovasi bidang untuk mempatenkan hasil karya mereka samada yang pernah memenangi sebarang pertandingan atau sebaliknya. Ini bagi membolehkan mereka memegang hak cipta secara eksklusif.
Sekali lagi, KPDNHEP ingin mengucapkan tahniah kepada adik Maryam dan semoga kejayaan ini memberi inspirasi kepada anak-anak muda yang lain untuk mengembangkan kreativiti menghasilkan inovasi dan ciptaan baharu.