PUTRAJAYA, 28 Ogos 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan di semua premis perniagaan di seluruh negara di bawah Akta 342. Ini bagi memastikan peniaga dan pelanggan mereka mematuhi SOP sepenuhnya berikutan 22 sub-sektor perdagangan dan pengedaran yang dibenarkan beroperasi bagi negeri-negeri di Fasa 1, 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“KPDNHEP telah menggerakkan semua Pegawai Penguat Kuasa yang berjumlah lebih 2,200 orang pegawai dalam OPS SAMAR di seluruh negara yang berpakaian preman/biasa (tidak berpakaian seragam Penguat Kuasa) untuk menjalankan pemantauan” kataTuan Shamsul Nizam bin Khalil, Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi).
Pemantauan ini adalah memastikan premis-premis perniagaan di bawah kategori 22 sektor tambahan ini tidak menjadi penyumbang kepada penularan semula pandemik COVID-19 dalam Negara. Sejak penguatkuasaan terhadap pematuhan SOP Akta 342 yang digerakkan bermula dari 13 Mei 2020 sehingga 26 Ogos 2021, sejumlah 746,645 premis telah diperiksa dan daripadanya sejumlah 859 kes/kompaun telah dikenakan ke atas pesalah yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan dengan nilai kompaun berjumlah RM4,561,500.00. Daripada 859 kes/ kompaun yang telah dikenakan, sejumlah 20 kes/kompaun dengan nilai kompaun RM 107,000.00 adalah di bawah OPS SAMAR.
Menurutnya, kompaun yang dikeluarkan serta merta setelah jelas terbukti pelanggaran SOP yang dilakukan adalah sebagai mesej kepada peniaga dan pengguna tentang keseriusan dan komitmen KPDNHEP dalam melaksanakan OPS SAMAR. Berdasarkan statistik pematuhan dalam sektor perdagangan pengedaran berada pada tahap yang memuaskan di mana 98.74% premis patuh kepada SOP ditetapkan, manakala 0.08% premis sahaja yang dikenakan kompaun dan selebihnya iaitu 1.06% premis diberi nasihat dan amaran.
Namun begitu, KPDNHEP merasakan kelongaraan yang diberikan bukanlah untuk diambil sambil-lewa malah tidak mahu ianya disalhgunakan seperti melakukan sosial eksperimen dan menghebahkan kepada orang ramai. Pembukaan sektor perdagangan dan pengedaran ini merupakan satu usaha bagi tujuan merancakkan dan memulihkan semula ekonomi domestik negara.
KPDNHEP meminta semua pihak berkerjasama dengan menasihatkan mereka yang tidak mematuhi SOP dalam sesuatu urusniaga supaya mereka mematuhi SOP dan laporkan kepada KPDNHEP di saluran aduan Kementerian seperti melalui Whatsapp 019-2794317 jika terdapat mereka yang sengaja tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.