Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

TIADA KOMPROMI LAGI KEPADA PENIAGA JIKA TIDAK PATUH SOP DI BAWAH PELAN PEMULIHAN NEGARA

PUTRAJAYA, 23 Ogos 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) komited bersama Kerajaan dalam memerangi Covid-19 dengan meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP di bawah Akta 342 terhadap 22 sub-sektor perdagangan dan pengedaran yang baharu dibenarkan beroperasi bagi negeri-negeri di Fasa 1, 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di bawah pelaksanaan OPS SAMAR. 

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi), Shamsul Nizam bin Khalil memaklumkan bahawa tindakan yang tegas akan diambil dengan mengeluarkan kompaun sehingga RM10,000.00 secara serta merta terhadap ketidakpatuhan SOP PPN tanpa kompromi sebagai langkah pencegahan (deterrent). Ini bagi memastikan peniaga dan pengguna mematuhi SOP sepenuhnya.

Selain itu, semua Pegawai Penguat Kuasa juga telah diarahkan untuk menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari di seluruh negara. Ini adalah langkah berjaga-jaga supaya pembukaan 22 sektor tambahan ini tidak akan menjadi penyumbang kepada penularan semula pandemik COVID 19.

Untuk makluman, pemantauan telah dijalankan sepanjang dua (2) hari iaitu 21 sehingga 22 Ogos 2021 di sekitar Pulau Pinang, sebuah Negeri Fasa 2 PPN, mendapati secara keseluruhannya pematuhan SOP PPN pada tahap yang memuaskan. Walau bagaimanapun, KPDNHEP telah mengenakan kompaun sejumlah RM10,000.00 terhadap pemilik premis di sekitar Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang secara serta merta di atas kesalahan premis gagal mempamerkan jumlah had maksimum pelanggan. Ini juga sebagai peringatan kepada kepada peniaga lain tentang keseriusan dan komitmen KPDNHEP dalam melaksanakan OPS SAMAR.

Tambahnya lagi, sejak pelaksanaan penguatkuasaan yang dibuat oleh KPDNHEP terhadap pematuhan SOP PKP Akta 342 digerakkan pada 13 Mei 2020 sehingga 22 Ogos 2021 Sejumlah 737,821 premis telah diperiksa dan sejumlah 840 kes/kompaun telah dikenakan ke atas pesalah yang tidak mematuhi SOP yang ditetapkan dengan nilai kompaun sejumlah RM4,464,000.00

 “Harus diingatkan, pembukaan ini bukan suatu kebebasan tanpa kawalan untuk peniaga mengabaikan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan dalam tempoh Negara dilanda pandemik wabak tetapi ini merupakan satu usaha bagi merancakkan dan memulihkan semula ekosistem ekonomi domestik” ujarnya.

KPDNHEP meminta semua pihak berkerjasama untuk merancakkan dan memulihkan semula ekonomi domestik dengan tidak mengabaikan pematuhan SOP PPN yang sedang berkuatkuasa. Penting diketahui tanggungjawab melandaikan lekuk dan penularan pandemik COVID-19 adalah peranan semua pihak.  


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive