PUTRAJAYA, 16 JUN 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik strategi Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 15 Jun 2021.
Strategi Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa ini pasti dapat meningkatkan kembali ekosistem perdagangan domestik di bawah seliaan KPDNHEP terutamanya kepada peniaga peruncitan, pemborong dan pengedaran di mana aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dan berfokus.
Menteri KPDNHEP, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata KPDNHEP juga telah memulakan program vaksinasi untuk barisan hadapan ekonomi dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID19 (CITF).
Tambahnya lagi, semua pemain industri menyokong sepenuhnya program ini dan sekarang dalam peringkat pendaftaran penyertaan. Ini adalah penting sebagai persiapan pembukaan ekonomi yang dilaksanakan.
“Sasaran suntikan dari 150 ribu vaksin sehari kepada 300 ribu sehari akan memberikan dampak yang lebih positif, mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok (herd immunity) dan membuka lebih banyak sektor ekonomi dalam keadaan selamat” katanya.
Pihak kementerian akan terus berbincang dengan semua pemegang taruhdan sentiasa menyokong dan membantu pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara supaya negara dapat mencapai objektif yang telah dirancang.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP