PUTRAJAYA, 8 Jun 2021 - Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan telah memperuntukkan sebanyak RM 600 juta tahun ini berbanding RM 528 juta tahun lalu bagi melaksanakan Program Skim Rasionalisasi Minyak Masak atau Cooking Oil Stabilization Scheme (COSS).
COSS merupakan program subsidi minyak masak yang bertujuan meringankan bebanan pengguna dalam kos sara hidup. Subsidi ini diberikan kepada minyak masak yang dipek dalam bungkusan polibeg 1 kilogram (kg) dan ditawarkan kepada pengguna pada harga mampu milik iaitu RM2.50 sepeket.
YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP menjelaskan bahawa Kerajaan memberi jaminan kualiti minyak masak sawit bersubsidi yang dijual dalam polibeg adalah sama dengan yang dijual dalam botol malahan ada di antaranya dikeluarkan di kilang yang sama.
Menurutnya, minyak masak yang dijual dalam botol plastik dan tin adalah tidak bersubsidi dan harganya ditentukan oleh harga CPO di pasaran dunia. Rakyat bebas untuk membuat pilihan untuk membeli minyak masak bersubsidi dalam kemasan polibeg atau tidak bersubsidi dalam kemasan botol plastik dan tin.
“KPDNHEP sedang berbincang dengan beberapa kementerian dan agensi yang berkaitan untuk mempertingkatkan mekanisme pelaksanaan harga untuk minyak masak bersubsidi dan tidak bersubsidi bagi mengurangkan beban pengguna” ujarnya.
Pihak Penguat Kuasa KPDNHEP sentiasa memantau bekalan dan harga barangan di pasaran dan tidak akan teragak-agak untuk mengabil tindakan di bawah AKHAP jika peniaga melakukan pencatutan terhadap harga barang termasuk minyak masak.
KPDNHEP akan melaksanakan kuasa yang diberikan kepada Kementerian seperti mengenakan harga kawalan atau harga maksimum jika didapati harga sesuatu barang itu melonjak kepada paras yang tidak munasabah.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP