Putrajaya, 4 Jun 2021 - Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memutuskan bahawa Kilang Arak dan Premis Yang Khusus Menjual Arak (Liquor Shop) tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (lockdown) bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
MKN turut memutuskan bahawa penjualan arak di kedai runcit seperti 7-eleven dibenarkan sekiranya mempunyai lesen. Hanya kilang dan kedai khusus menjual arak tidak dibenarkan beroperasi.
Menurut timbalan Menteri KPDNHEP , Dato’ Haji Rosol Wahid, premis atau syarikat perniagaan dan perkhidmatan yang dikategorikan sebagai perlu atau ‘essentials’ seperti makanan dan minuman (food and beverages) dibenarkan beroperasi di bawah senarai perkhidmatan perlu (essential service).
Ini termasuk pasaraya, pasar mini dan serbaneka, dimana sebahagian premis ini turut mempunyai lesen dan seksyen khas untuk menjual minuman keras.
“Oleh itu, tiada larangan untuk premis terbabit yang dikategorikan sebagai perlu dan mempunyai lesen untuk menjual minuman keras untuk menjual barangan yang terdapat dalam premis mereka termasuklah minuman keras dengan syarat mereka patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan” katanya.
Tambahnya lagi, perkara di atas juga terpakai kepada rokok yang dijual dalam premis yang disenaraikan di bawah kategori perlu atau ‘essentials’ tertakluk kepada peraturan penjualan sepertimana yang telah ditetapkan.
Dato’ Haji Rosol menegaskan bahawa apa yang dibenarkan dalam senarai perkhidmatan perlu atau 'essential service', itu sahaja yang dibenarkan beroperasi. KPDNHEP mengikut sepenuhnya SOP yang telah disediakan oleh MKN.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP