PUTRAJAYA, 1 JUN 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong inisiatif kerajaan yang terbaru iaitu Program
Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada 31 Mei 2021. PEMERKASA PLUS ini memberikan penumpuan kepada 3 matlamat utama bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi.
YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri KPDNHEP menghargai kepercayaan YAB Perdana Menteri atas pelaksanaan beberapa inisiatif oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebuah agensi KPDNHEP dalam Matlamat Ketiga: Menyokong Kelangsungan Perniagaan.
Melalui inisiatif ini, pelanjutan masa 90 hari diberikan kepada syarikat dengan tahun kewangan berakhir 1 November 2020 hingga 31 Januari 2021 bagi mengedarkan penyata kewangan, mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, menyerah simpan penyata kewangan dan RM100 fi permohonan lanjutan masa dikecualikan.
Selain itu, SSM juga memperkenalkan moratorium 30 hari selepas tamat tempoh Total Lockdown bagi serah simpan dokumen berkanun di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 dengan Fi lewat serah simpan dikecualikan.
SSM juga mengurangkan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal bagi permohonan pembatalan nama syarikat di bawah Seksyen 549/550 Akta Syarkat 2016.
Di samping itu, SSM juga mengecualikan kompaun ke atas kelewatan pembaharuan dan kelewatan pendaftaran perniagaan sehingga 31 Disember 2021.
Dato Sri Alexander berkata KPDNHEP juga akan terus mempertingkatkan Penguatkuasaan Perundangan Yang Ketat dan Telus bagi mengawal penularan pandemik Covid-19
“Sehingga 31 Mei 2021, Penguat Kuasa KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan di 570,932 premis perniagaan di seluruh negara dengan pematuhan yang membanggakan” ujarnya.
Tambahnya lagi, para peniaga PKS yang terlibat dalam industri pembuatan dan pengedaran juga akan menyambut baik dengan Geran Khas Prihatin dan Kemudahan Mikro Kredit. Ini akan meningkatkan lagi prestasi perniagaan mereka.
KPDNHEP turut menyambut baik peruntukan PEMERKASA Plus bernilai 1.5 bilion ringgit bagi melanjutkan Program Subsidi Upah selama satu bulan lagi dan ini tentunya melegakan industri borong dan runcit seperti yang disasarkan.
Secara keseluruhannya, KPDNHEP yakin PEMERKASA Plus akan menjadi pelengkap kepada program serta inisiatif sedia ada. Pastinya ini akan membantu mempercepatkan lagi pemulihan ekonomi negara di semua sektor dan industri khususnya melalui kelangsungan perdagangan domestik.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP