PUTRAJAYA, 22 MEI 2021 - Sebanyak 51,138 pemeriksaan ke atas premis-premis di seluruh negara dilaksanakan sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 yang berakhir 20 Mei baru baru ini.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengambil tindakan terhadap peniaga-peniaga yang ingkar dan tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Sebanyak 454 (0.89%) tindakan undang-undang telah dikenakan iaitu 91 kes (0.18%) kerana menjual melebihi harga maksimum, 186 kes (0.36%) kerana gagal menggunakan tanda harga khas dan 177 kes (0.35%) tiada tanda harga.
Jumlah nilai sitaan ialah RM52, 897.31 dan kompaun yang dikenakan ialah sebanyak RM64, 050.00. Kementerian telah menerima 73 aduan sepanjang tempoh tersebut. Kesemua aduan yang diterima telah disiasat dan diambil tindakan. Secara keseluruhannya, hasil pemeriksaan dan pemantauan yang dijalankan menunjukkan pematuhan yang tinggi (99%) di pihak peniaga, di mana barangan harga terkawal dijual mengikut harga maksimum pengeluar, borong dan runcit yang telah ditentukan Kerajaan.
Malahan, sesetengah barangan harga terkawal didapati dijual pada harga yang lebih rendah dari harga maksimum yang ditetapkan. Senario positif ini berlaku kerana persaingan yang sihat selain faktor penawaran dan permintaan yang seimbang di pasaran. Penentuan harga maksimum yang bersesuaian dengan paras harga pasaran semasa telah membantu pelaksanaan serta kelancaran perjalanan skim ini.
Berdasar satu kenyataan media yang dikeluarkan, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Haji Azman Adam berkata, berdasarkan pemantauan dan maklum balas orang ramai, Kementerian akan sentiasa membuat penambahbaikan bagi memastikan skim ini akan terus relevan dan memberi manfaat kepada semua.
Selain itu, Kementerian juga akan terus bekerjasama dan mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri terutamanya industri baru bagi memastikan kejayaan pelaksanaan skim ini.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP