PUTRAJAYA, 7 MEI 2021 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Dato Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini telah merasmikan Program Jualan Prihatin Raya di Perkarangan Anjung Seri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP).
Objektif utama Program Jualan Prihatin Rakyat (JPR) ini diadakan adalah salah satu usaha KPDNHEP untuk meringankan kos sara hidup rakyat khususnya terhadap keperluan barangan bagi persediaan menjelang Perayaan Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021 khususnya kepada penduduk di sekitar Putrajaya. Pelaksanaan program ini juga sebagai usaha untuk membantu mengurangkan beban perbelanjaan rakyat dan menangani kos sara hidup.
“Melalui Program Jualan Rakyat ini juga, kementerian telah bekerjasama dengan syarikat-syarikat pembekal khususnya dalam sektor peruncitan untuk menawarkan harga barangan keperluan dengan harga yang sangat berpatutan. Antara barangan keperluan yang dijual pada hari ini adalah seperti ayam, telur, ikan, gula, minyak masak, tepung, beras, sayur-sayuran dan pelbagai jenis barangan keperluan yang lain sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya ketika merasmikan program ini.
Sempena majlis ini, Dato Sri Alexander Nanta Linggi turut mengagihkan sebanyak 38 hamperbox yang disumbangkan oleh Syarikat 99 Speedmart Sdn Bhd kepada kakitangan KPDNHEP yang kurang berkemampuan. Kementerian komited untuk terus membantu golongan yang terkesan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat dan akibat daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) demi untuk memutuskan rantaian Covid-19 di Negara kita.
Beliau juga mengumumkan sesi jualan murah (happy hour) dengan menawarkan ayam sebanyak RM 6.00 seekor, telor ayam gred C dengan harga RM 3.00 sepapan, kobis bulat sebanyak RM 1.00 sebiji, minyak masak 1 kg polibeg dengan harga RM 2.00 serta tepung gandum dengan nilai RM 1.00 sahaja.
Kementerian ini berharap dengan terlaksananya Program JPR pada hari ini dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat terutamanya menjelang musim perayaan ini.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP