KUALA LUMPUR, 1 MEI 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini berkampung di PPR Kampung Muhibbah, Bukit Jalil disini sebagai salah satu usaha Kementerian untuk mendekati dan menyantuni rakyat terutamanya dari kumpulan berpendapatan rendah B40, dan antara strategi Kementerian untuk mendapatkan input dan maklum balas secara terus daripada rakyat.
Program yang dilancarkan Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Hj Ahmad adalah inisiatif dalam usaha Kementerian untuk membantu Kerajaan menyediakan strategi yang lebih berkesan dalam menangani isu-isu dan masalah berkaitan kenaikan kos sara hidup, serta menjadi platform kepada Kementerian untuk menguar-uarkan program atau insentif yang telah disediakan oleh Kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup.
Hadir sama pada majlis pelancaran ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Nor Azimah Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif SSM dan Shafie bin Shamsuddin, Pengarah Urusan AEON Co. (M) Berhad.
Diantara pengisian dalam program ini termasuklah mensosialisasikan aplikasi Price Catcher dan penggunaan e-wallet yang boleh membantu pengguna terutamanya golongan B40 untuk membuat keputusan dalam melakukan perbelanjaan harian. Price Catcher mempunyai lebih 500 item barang keperluan yang telah membantu lebih dari 130,000 pengguna yang telah memuatnaik aplikasi ini dalam melakukan perbandingan harga yang dijual di premis perniagaan.
“Pada hari ini, saya juga berpeluang untuk menyampaikan sumbangan duit raya serta keperluan harian kepada 100 orang asnaf. Manakala sebanyak 600 bungkus bubur lambuk Kg. Baru turut diedarkan kepada penduduk PPR Kg. Muhibbah. Saya juga turut menyampaikan sumbangan melalui Program Food Bank Malaysia kepada program Gerobok Rezeki PPR Kg. Muhibbah dalam bentuk tambahan bahan-bahan keperluan harian seperti beras, minyak masak dan keperluan lain,” ujar Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam pada majlis pelancaran ini.
Program Ziarah Kasih Ramadhan di PPR Kg Muhibbah ini merupakan program pertama dari enam siri di bawah Program Outreach Sara Hidup Golongan B40 KPDNHEP yang akan dilaksanakan oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sepanjang tahun 2021.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP