PUTRAJAYA, 19 APRIL 2021- Pengumuman Skim Harga Maksimum (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Seri Alexander Nanta Linggi hari ini mengurangkan kegelisahan pengguna yang sejak akhir-akhir ini bimbang dengan kenaikan barang-barang keperluan di pasaran.
Pengumuman sebanyak 12 barangan yang dijadikan kawalan dalam peringkat pertama ini menjurus kepada harga ayam yang dikhabarkan dijual dengan harga yang mencecah RM 10.00 sekilogram.
KPDNHEP melaksanakan SHMMP Hari Raya Puasa 2021 sebagai langkah untuk menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang perayaan Hari Raya Puasa yang akan disambut pada 13 Mei 2021 diseluruh negara. Pelaksanaan ini juga memberikan mesej kepada pengeluar, pemborong dan peruncit bahawa Kerajaan mempunyai kuasa di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu pada bila-bila masa boleh melaksanakan kawalan harga demi kepentingan rakyat.
Selain itu, pelaksanaan Skim ini juga akan memberi kesan kepada lain-lain barangan makanan sedia masak seperti nasi ayam, ayam golek, kuih muih dan lain-lain juadah berbuka puasa yang berasaskan ayam, telur ayam dan hasil laut.
Menurut Dato Sri Alexander, walaupun perayaan disambut secara sederhana mengikut Standard Operating Prosedur (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak Kerajaan, permintaan terhadap barangan semasa perayaan tetap ada dan dijangka akan meningkat berbanding semasa sebelum Ramadan dan menjelang perayaan. Tarikh kuat kuasa Skim ini adalah dari 21 April 2021 hingga 20 Mei 2021. Tempoh kuat kuasa bagi SHMMP Hari Raya Puasa adalah selama 30 hari iaitu selama 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan 7 hari selepas hari perayaan. Ia dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Katanya lagi, kementerian ini telah mengenal pasti sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaan skim ini. Ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya), ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal),daging lembu tempatan (*Harga maksimum di Semenanjung dan Sabah sahaja).
Daging lembu import (*Harga maksimum di Sarawak sahaja),daging kerbau import (*Harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan WP Labuan sahaja), telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga dan 69.9 gram sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji), telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).
Ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram), ikan selayang (berat antara 7 ekor hingga 10 ekor setiap kilogram) dan Ikan aya/tongkol (berat antara 1 ekor hingga 2 ekor setiap kilogram).
Menurut Dato Sri Alexander, KPDNHEP akan mengumumkan beberapa tambahan barangan lagi dalam pelaksanaan skim bagi memastikan pihak pengguna dapat membuat persiapan menyambut Hari Raya Puasa dengan lancar.
“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti penternak”.
Beliau memberi amaran bahawa sekiranya peniaga dengan sengaja menaikkan harga tanpa alasan-alasan yang munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan tinggi yang berlebihan, Kementerian boleh bertindak di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018 yang mula kuatkuasa pada 6 Jun 2018.
Selain itu, notis di bawah Seksyen 21 Akta turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak bagi mendapatkan penjelasan.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP