KUALA LUMPUR, 18 APRIL 2021 – Sebanyak 12 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bertempat di Pavillion Kuala Lumpur dengan membawa produk-produk mereka yang terdiri daripada pelbagai kategori seperti makanan dan minuman, pakaian, kelengkapan rumah, kecantikan dan penjagaan diri.
Mereka akan berkampung disini selama lima minggu dengan menyaksikan pelbagai aktiviti dan pengisian menarik untuk para pengunjung seperti persembahan kebudayaan dan busking, promosi jualan harga istimewa, demontrasi produk oleh pempamer, permainan berinformasi dan taklimat kaedah perniagaan oleh mereka yang telah mencipta nama dalam bidang keusahawanan.
12 PKS tersebut adalah Hana Medic Sdn. bhd, Jeiwa Global Resources, Fortuna Biotech Sdn.Bhd, Noor Arfa batik, Sakuran Industries, Yusa Food Products Sdn. Bhd, Masria Abdullah Empire, The Dalucia Sdn. Bhd, Zaahara Ventures Sdn.Bhd, G&H Cake House Sdn. Bhd, Little Fana Resources dan Asma Batik.
Program anjuran bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Pavillion Kuala Lumpur ini dirasmikan Menteri KPDNHEP, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi.
Dalam ucapan perasmiannya, Dato Sri Alexander menyatakan bahawa program Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) telah mencatatkan peningkatan nilai jualan produk-produk buatan Malaysia pada suku keempat pada tahun 2020 dengan RM1.68 billion berbanding RM1.62 bilion pada suku tahun ketiga tahun yang sama.
Kajian yang dilakukan UOB Asean Consumer Sentiment yang dikendalikan UOB Malaysia menunjukkan bahawa pada tahun 2020 sebanyak 69 peratus pengguna tempatan cenderung untuk membeli dari pengusaha tempatan bagi membantu meningkatkan jualan dan pendapatan perniagaan tersebut.
Trend ini lebih baik berbanding dengan negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Singapura.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP