PUTRAJAYA, 14 APRIL 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mempertingkatkan penguatkuasaan pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidil Fitri Tahun 2021 menerusi OPS PANTAU yang bertujuan memastikan rakyat berada dalam suasana yang selesa dan mudah mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian pada harga yang berpatutan semasa Ramadan dan Hari Aidil Fitri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi, petang ini melancarkan Ops ini bertempat di tapak Bazar Ramadan, Presint 3, Wilayah Persekutuan Putrajaya. Turut hadir semasa sesi pelancaran ini, Timbalan Menteri KPDNHEP, Dato’ Haji Rosol Wahid, Timbalan Ketua Setiausaha KPDNHEP (Pendayaupayaan Pengguna), Mohamed Zahari Razali dan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam.
Menurut Dato Sri Alexander, OPS PANTAU dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh Negara dengan lokasi tumpuan seperti bazar ramadan, bazar hari raya, pasar awam, pasar basah, hypermarket, supermarket, mini market dan kedai runcit. Pemeriksaan di bawah OPS PANTAU adalah berkaitan bekalan, harga, jualan murah, penjualan barang tiruan, Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dan pematuhan SOP PKP di bawah Akta 342 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Katanya, pendekatan penguatkuasaan OPS PANTAU adalah membuat pemeriksaan dan pemantauan secara lebih kerap dan bersasar ke atas bekalan barang-barang yang menjadi tumpuan rakyat pada musim Ramadan dan Aidil Fitri seperti gula, minyak masak, tepung gandum, beras, barang basah dan barang untuk membuat kuih muih supaya barangan yang dijual mempunyai tanda harga, barang kawalan mengikut gazet Kerajaan dan lain-lain barang tidak berlaku pencatutan.
Bahagian penguat kuasa KPDNHEP juga akan membuat pemeriksaan dan pemantauan secara lebih fokus dan efektif ke atas premis perniagaan yang mengadakan jualan murah. Mereka juga akan memastikan peniaga tidak menjual barang-barang melebihi harga yang ditetapkan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).
Selain itu, membuat pemeriksaan dan pemantauan secara lebih kerap dan bersasar ke atas premis perniagaan khususnya di Bazar Ramadan, Bazar Aidil Fitri dan lain-lain premis supaya tidak ada penjualan barang tiruan disamping membuat pemeriksaan dan pemantauan secara lebih efektif dan berkala ke atas premis-premis di bawah sektor peruncitan dan pengedaran untuk memastikan pematuhan ke atas SOP Perintah Kawalan Pergerakan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).
Dato Sri Alexander meminta pengguna agar membuat aduan kepada kementerian ini melalui saluran aduan yang disediakan atau pergi terus ke mana-mana Pejabat KPDNHEP yang berhampiran untuk membolehkan tindakan dapat diambil segera.