Accessibility Tools

anms faq feedback contact sitemap

OPS HARUM 1.0 UNTUK LINDUNGI PENANAM TEMPATAN

OPERASI BERSEPADU KPDNHEP BERSAMA AGENSI TERHADAP ISU HALAL DAN STANDARD KESELAMATAN PENGGUNA

KANGAR, 11 APRIL 2021 - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) mengambil inisiatif melaksanakan Ops Harum 1.0 bagi melindungi pasaran dan penanam harumanis di negeri Perlis amnya.

Pelancaran OPS HARUM 1.0 yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama FAMA disempurnakan Menterinya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi di Pasar Awam Sena dekat sini hari ini.

OPS HARUM 1.0 ini bertujuan mengekang penyalahgunaan perihal ‘Harumanis’ bagi mangga yang bukan berasal dari varieti Harumanis Perlis dan akan menjejaskan pendapatan dan hasil para pengusaha tempatan. Peranan KPDNHEP di bawah OPS HARUM 1.0 adalah memantau pematuhan peniaga.
Menurut Dato Sri Alexander, dalam keghairahan peminat tempatan terhadap buah ini, kemasukan buah-buahan dari negara luar di salahgunakan segelintir peniaga yang mendakwa bahawa buah tersebut adalah daripada harumanis tempatan dengan menjualnya dengan harga yang mahal.

Katanya, melalui operasi ini, pegawai-pegawai KPDNHEP akan ditempatkan dilokasi-lokasi strategik bagi memastikan pengguna tidak terpedaya dengan taktik peniaga. Semua peniaga diwajibkan mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti meletakkan tanda harga dengan jelas, mempamerkan jenis buah yang dijual, menggunakan alat timbang yang sesuai, memastikan alat timbang masih dalam tempoh tentusah dan menggunakan perihal dagangan ‘Harumanis’ yang sah.

Di majlis yang sama, Dato Sri Alexander turut melancarkan Penguatkuasaan Prihatin. Walkabout Penguatkuasaan Prihatin merupakan susulan daripada pelancaran yang telah dilaksanakan sebelum ini bagi tujuan memperkenal Penguatkuasaan Prihatin sejajar dengan situasi semasa pada masa kini ekoran wabak Covid-19 yang melanda Negara.

Objektif Penguatkuasaan Prihatin yang dihasratkan oleh Kementerian adalah bersifat “ease of doing business” yang berperanan membantu peniaga dari kumpulan sasar yang terkesan akibat pandemik Covid-19 untuk meneruskan perniagaan, membantu peniaga baharu yang menceburi bidang akibat kehilangan pekerjaan ekoran Covid-19, merancakkan semula ekonomi perdagangan domestik Negara dan menawarkan inisiatif-inisiatif penguatkuasaan baharu yang memberi impak positif kepada peniaga dari kumpulan sasar serta ekonomi Negara.

KPDNHEP dengan kerjasama agensi-agensi tempatan memberi advokasi kepada peniaga untuk mewujudkan pemahaman dan pematuhan perundangan di bawah KPDNHEP.

Penguatkuasaan Prihatin hanya dilaksanakan secara bersasar iaitu premis terbuka, premis bermusim, gerai sementara, premis di kawasan pedalaman dan lain-lain jenis premis yang difikirkan perlu. Penguatkuasaan Prihatin digunapakai ke atas kesalahan-kesalahan yang bersifat kecil berkaitan penandaan harga barang dan caj bagi perkhidmatan, penentusahan alat timbang dan sukat, jualan murah dan lesen barang kawalan.

“Penguatkuasaan Prihatin ini dapat memberi peluang dan ruang kepada peniaga dari kumpulan sasar tertentu untuk membuat tindakan pembetulan dan mematuhi peruntukan perundangan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya

Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP


ezAdu
SENARAI SYARIKAT MINYAK DI MALAYSIA Electronic Archive