KUALA LUMPUR, 9 APRIL 2021 – Program Jualan Malaysia (PJM) yang memasuki edisi kedua tahun ini digerakkan untuk menjadi pemangkin ke arah pemulihan dan seterusnya melonjakkan ekonomi negara terutama di dalam sektor peruncitan yang terjejas teruk disebabkan oleh pandemic COVID-19.
Pelancaran PJM di Jakel hari ini disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Dato Sri Alexander Nanta Linggi bersempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tiba
Kerjasama KPDNHEP dan Jakel Group ini merupakan pelancaran PJM bagi tahun 2021. Jakel adalah jenama yang amat dekat di hati pengguna terutama bagi pemilihan fabrik untuk digayakan pada hari raya.
Tahun lalu PJM memperkenalkan segmen bertema mengikut produk setiap bulan tetapi di edisi kedua ini, PJM memberi fokus kepada segmen perayaan terbesar di Malaysia iaitu Hari Raya Aidilfitri untuk jangkamasa April – Mei , Hari Gawai dan Kaamatan, Mei – Jun, Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada Ogos – September, Deepavali pada November serta Krismas dan Tahun Baru pada Disember 2021. Segmen Tahun Baru Cina tidak dapat dilaksanakan berikutan pelaksanaan PKP.
Untuk rekod, pelaksanaan PJM tahun 2020 berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dengan nilai jualan sektor runcit sebanyak RM135.9billion pada Q4/2020 yang melebihi RM100 bilion yang disasarkan.
“Bilangan permohonan Notis Jualan Murah juga mencatatkan peningkatan pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 15,831 permohonan diterima berbanding 8,329 permohonan pada tahun 2019. Daripada jumlah ini, sebanyak 10,879 permohonan adalah sepanjang tempoh PJM berlangsung.
“Bilangan premis yang melaksanakan jualan murah juga turut meningkat pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 326,395 premis berbanding 108,392 premis pada tahun 2019. Daripada jumlah ini, sebanyak 196,879 premis melaksanakan jualan murah sepanjang tempoh PJM, tambahnya.
PJM turut mempromosikan aplikasi MySales Tracker untuk membantu pengguna mengetahui lokasi sesuatu jualan yang sedang berjalan sekaligus membuat perbandingan harga. Aplikasi ini telah memberi manfaat dikala kerajaan menggalakkan rakyat untuk berbelanja dengan bijak serta membantu menggurangkan penipuan di dalam kempen jualan.
Pelaksanaan PJM kali ini turut mengadaptasi elemen norma baharu melalui Program Pembudayaan Norma Baharu Sektor Peruncitan Dalam PJM serta program shopping street/district, cabutan bertuah dan e-Voucher.
“Adalah diharapkan PJM tahun ini akan menjadi pemangkin dalam memulihkan sektor peruncitan dan memperkukuhkan semula permintaan domestik dengan menggalakkan para pengguna berbelanja, “ katanya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP