PUTRAJAYA, 14 MAC 2021 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ambil maklum akan situasi Kerajaan Singapura mengarahkan empat pengimport telur untuk menarik balik dari pasaran telur yang dihasilkan oleh sebuah syarikat dari Malaysia berikutan dakwaan penemuan Somanella Enteritidis (SE) sepertimana yang dilaporkan oleh media baru-baru ini.
Arahan penarikan semula bekalan telur tersebut adalah bertujuan berjaga-jaga atas kepentingan kawalan keselamatan dan kualiti makanan. Dalam kenyataan medianya, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Haji Azman Adam berkata, KPDNHEP sedang membuat penilaian kesan ke atas bekalan telur di pasaran domestik dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Setiap Kementerian sedang bertindak mengikut bidang kuasa di bawah Kementerian masing-masing. Fokus tindakan di bawah KPDNHEP adalah pemantauan rapi terhadap kedudukan bekalan telur di pasaran susulan daripada isu penemuan tersebut,” ujarnya.
Pemantauan bekalan dipertingkatkan di setiap rantaian pengedaran dan pembekalan telur untuk mengesan kawasan-kawasan yang dijangka terjejas keberadaan bekalan telur. KPDNHEP juga mengadakan sesi libat urus bersama pemain industri dalam kalangan penelur dan pengeluar ayam dalam Negara untuk siap siaga menjalankan proses pengeluaran bekalan telur untuk menampung sebarang risiko gangguan bekalan telur dalam Negara sekiranya berlaku.
“Pengguna dinasihatkan tidak perlu merasa panik dengan situasi ini. KPDNHEP memerlukan kerjasama pengguna untuk berhemah dalam membuat pembelian dan tidak menyumbang kepada gangguan keberadaan bekalan telur disebabkan mencipta situasi pembelian panik,” tambahnya.
KPDNHEP ingin memberi peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan atas situasi ini dengan menjadikan alasan menaikkan harga. Peniaga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(1), Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP