KOTA BHARU, 6 MAC 2021 – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu.
Kempen ini adalah bagi menyahut seruan Kerajaan bagi memastikan semua sektor samada ekonomi, keselamatan mahupun sosial mengambil tanggungjawab bagi memastikan kesedaran awam serta pematuhan norma baharu COVID-19 pada tahap yang tinggi.
Pasar Siti Khadijah ini merupakan pasar kedua dari siri Kempen Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan yang disasarkan di enam pasar utama terpilih iaitu Pasar Payang di Kuala Terengganu, Pasar Satok di Kuching, Pasar Kraftangan di Kota Kinabalu, Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Pekan Rabu di Alor Setar, dan Pasar Chowrasta di Georgetown.
Katanya, pemilihan pasar-pasar utama ini adalah kerana ia menjadi tumpuan pengguna terutama pelancong domestik. Pasar-pasar ini perlu dipersiapkan bagi memastikan ia dapat menerima pengunjung dari luar dan dalam dengan pematuhan SOP yang tinggi apabila sektor pelancongan domestik dibuka semula kelak. Ia juga harus dijadikan amalan terbaik serta menjadi contoh kepada sektor-sektor lain dalam pematuhan SOP.
“Saya berkeyakinan usaha untuk menangani wabak covid-19 akan dapat dimenangi dengan lebih cepat hasil kerjasama dan komitmen pelbagai pihak di semua peringkat termasuk Kerajaan, industri, perniagaan dan rakyat. Ini tentunya akan membantu merancakkan lagi pemulihan ekonomi untuk faedah rakyat dan negara,” ujarnya.
Kempen Norma Baharu COVID-19 Sektor Peruncitan di Pasar-Pasar Utama merupakan kerjasama strategik di antara KPDNHEP dan NADMA bersama-sama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dewan Bandaraya Kuching Utara, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Majlis Bandaraya Alor Setar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Kota Bharu.
Menurut Dato Sri Alexander lagi, untuk menyokong pelaksanaan Norma Baharu ini, Kementerian juga ingin menyeru supaya semua peniaga beralih kepada sistem pembayaran digital samada melalui e-dompet atau/dan pembayaran melalui kad debit. Pembayaran secara digital ini dapat mengurangkan sentuhan dan sekaligus mengurangkan risiko penularan virus Covid-19.
“Kementerian juga menyeru supaya peniaga untuk mematuhi Perintah 3(1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Peruncit) 1993 AKHAP 2011 dengan memaparkan tanda harga ke atas semua produk yang dijual. Dengan itu diharapkan pembeli dapat mengurangkan masa keberadaan di premis perniagaan dan mengurangkan risiko penularan virus yang sama,” tambahnya.
Oleh : Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP